utama

'Wanita' 20,000 pengikut

Oleh Agensi

Tokyo: Seorang lelaki di Jepun sanggup menyamar sebagai wanita bagi meraih jumlah tontonan tinggi di YouTube, selepas pendapatannya terjejas akibat pandemik Covid-19.

YouTuber berusia 37 tahun itu juga menggunakan alat prostetik (tiruan) payudara silikon bagi menampakkan dirinya seperti wanita sebenar.

Portal Oddity Central melaporkan, Chiharu memulakan kariernya di YouTube pada Disember tahun lalu tetapi pada akhir Mac lalu, videonya berjaya menarik 20,000 pengikut atau subscriber walaupun hanya menampilkan enam klip video.

Namun, ia bukan video biasa, tetapi memaparkan seorang wanita yang menjalani rutin senaman malam dengan kamera lebih fokus di bahagian dadanya.

Pada 25 Mac lalu, Chiharu menerbitkan satu video baharu di saluran berkenaan namun tidak lagi menampilkan wanita cantik berkenaan, tetapi seorang lelaki memakai jaket biru dengan senyuman bersalah di wajahnya.

Dalam pendedahan itu, lelaki Jepun itu mengatakan dia muncul dengan idea untuk menjadi YouTuber tahun lalu selepas berdepan potongan gaji yang besar daripada majikannya kerana pandemik Covid-19.

Lebih memburukkan keadaan, anjing peliharaannya disahkan menghidap barah dan memerlukan rawatan yang mahal.

Mengetahui gadis berpenampilan menarik lebih mudah untuk menarik penonton dalam talian, dia memutuskan untuk menjadi seorang wanita dengan memakai rambut palsu dan alat prostetik silikon bagi meniru payudara wanita.

Malah, Chiharu mula menyiarkan senaman malam dan berjogging tanpa memberitahu isterinya sendiri.

Katanya, dia memilih untuk menyamar wanita kerana itu cara mudah untuk menjana pendapatan menerusi YouTube.

Untuk mendapatkan iklan di videonya, dia memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 langganan dan 4,000 jam waktu tonton dalam 12 bulan, yang boleh menjadi sangat mencabar bagi kebanyakan YouTuber.

Chiharu memberitahu peminatnya dia memutuskan tidak dapat menyimpan rahsia jantina lagi kerana tidak mahu membina kariernya berdasarkan tipu muslihat.

Selepas pendedahannya, jumlah pengikutnya menurun dari lebih 20,000 menjadi 18,300 orang saja.

Disiarkan pada: April 8, 2021 @ 6:30am
d