utama

'Fatima memang senang dijaga'

Oleh Norhayati Nordin

Jika sebelum ini, hidup hanya berdua. Sekarang kehidupan rumah tangga pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Nur Fazura sudah lengkap dengan kehadiran cahaya mata mereka, Nur Fatima Aisya.

Baru berusia enam bulan, bayi yang mesra disapa Fatima ini sudah mula mendapat perhatian ramai. Bukan hanya warganet yang tertarik menunggu perkongsian foto dan video Fatima di media sosial, tapi pada kalangan pihak syarikat dan pengeluar produk juga.

Berkulit putih gebu, Fatima cukup manis tersenyum dan tidak meragam ketika terbabit menjayakan penggambaran iklan di Suria KLCC, baru-baru ini. Dia nyata memberi kerjasama sangat baik kepada ibunya dan pasukan produksi.

Nur Fazura atau mesra disapa Faz berkata Fatima, memang senang dijaga dan diuruskan. Namun, ujarnya tak sangka juga dia okey walau baharu kali pertama dibawa keluar ke pusat membeli-belah untuk penggambaran iklan ini.

"Sebaik kami masuk ke dalam pusat membeli-belah ini, Fatima dah teruja dan gembira. Dia gelak saja dan memberi kerjasama sangat baik untuk kami berdua siapkan penggambaran. Malah, dia sanggup tahan mata walaupun dah mengantuk.

"Apapun, pembabitan Fatima bersama saya dalam iklan komersial adalah rezekinya. Meskipun sejak dia lahir, saya dan Fattah sudah berbincang tidak mahu eksploitasi dia untuk dibawa ke sana sini, tapi soal rezeki kita tak tahu.

"Malah, buat masa ini untuk Fatima, kami cuba menerima tawaran yang dirasakan sesuai. Macam iklan Suria KLCC ini, kami terima kerana agak sentimental sebab tahun lalu saya menjayakannya ketika hamilkan Fatima," katanya.

Menurut Faz lagi, walaupun ada tawaran iklan lain ditawarkan untuk mereka sekeluarga, tapi masih dipertimbangkan. Katanya, Fatima pun masih kecil dan tidaklah semua tawaran yang datang itu diterima, kerana bergantung pada rezeki yang Allah permudahkan.

Berbicara lanjut mengenai anak tersayang, Faz mengakui kehidupannya ketika ini banyak berubah sejak bergelar ibu. Ujarnya, sekarang keutamaan paling penting memang ditumpukan pada keselesaan Fatima.

"Hinggakan, ada juga rakan-rakan yang cakap, saya sekarang macam pembantu peribadi (PA) Fatima. Terus-terang, saya tak kisah dah dengan semua itu, kecuali fokus memang pada Fatima saja. Saya akan selalu pastikan, Fatima okey atau tidak setiap masa.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dikurniakan anak perempuan dan kehadiran Fatima diakui melengkapkan kebahagiaan saya dan Fattah. Namun, cepat rasanya masa berlalu dan Fatima semakin membesar.

"Dia (Fatima) dah mula makan sejak seminggu lalu dan nampaknya dia 'enjoy' makan macam saya. Bahkan, satu lagi kesukaannya ialah berenang sama seperti minat Fattah. Dah enam bulan sekarang, Fatima pun mula nak cuba duduk dan merangkak," katanya

Mengulas aktiviti pada Ramadan ini, Faz berkata, dia akan lebih memberi fokus pada bisnes. Katanya, ketika ini hendak merentas negeri pun tak boleh dan dalam situasi pandemik sekarang, ikut saja arahan yang ditetapkan kerajaan.

Berkongsi perihal tawaran lakonan pula, pelakon filem J Revolusi ini berkata, dia masih menerima tawaran, tapi meneliti pada jalan cerita sesuai. Selain itu, jadual kerja penggambarannya juga tidak boleh sehingga sampai lewat pagi kerana Fatima.

Ramadan, Aidilfitri bertiga

Menyedari situasi Covid-19 yang belum reda sekarang, Fattah tetap menyifatkan kedatangan Ramadan dan Aidilfitri kali ini sangat membahagiakannya. Ujarnya, berpeluang meraikan bertiga bersama isteri dan anak adalah satu hikmah.

"Seperti tahun lalu, Ramadan dan Aidilfitri kali ini pun, kita tak boleh rentas negeri. Namun, saya masih sangat bersyukur kerana ada Fatima dalam keluarga kami. Alhamdulillah, pada tahun ini dapat sambut puasa dan hari raya bertiga.

"Suasana kemeriahannya pasti berbeza kerana mungkin tidak dapat beraya dengan sanak saudara lagi. Tapi, sekurang-kurangnya saya amat bersyukur apabila kali ini Fatima dah ada bersama kami," katanya.

Ditanya mengenai makanan kegemaran anaknya, Fattah berkata, dia mendapati Fatima sangat suka makan snek dan juga sajian makanan bayi termasuk, bubur lembut.

"Apapun, setakat ini saya dan Faz masih meneliti makanan-makanan kesukaan Fatima mengikut cita rasa seleranya. Lagipun, Fatima baru boleh makan dan untuk itu kami teliti seleranya menerusi reaksi ditunjukkan sama ada dia suka makanan itu atau tidak," katanya lagi.

Berbicara juga mengenai aktiviti Ramadan, Fattah berkata, dia akan memberi tumpuan pada produk Tamar Fatima yang diperkenalkan. Ujarnya, idea produk Tamar Fatima itu diperoleh ketika dia teringatkan waktu mula-mula menimang cahaya mata.

Pasangan Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 selepas dipertemukan sebagai teraju utama drama Hero Seorang Cinderella. Mereka dikurniakan kehadiran Fatima pada 2 Oktober, tahun lalu.

Disiarkan pada: April 13, 2021 @ 6:00am
d