utama

Syafiq terbaik, Liridon terburuk

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: "Paling teruk Liridon (Krasniqi) dan tak patut dipanggil lagi untuk kelayakan Piala Asia nanti."

Itu penilaian bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh yang menganggap pemain tengah naturalisasi negara, Liridon Krasniqi mempamerkan prestasi terburuk pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Katanya, pemain paling menonjol dan terbaik sepanjang saingan itu pula adalah Syafiq Ahmad yang memperagakan prestasi menakjubkan walaupun hanya diturunkan sebagai pemain gantian.

"Pada pendapat saya, pemain tempatan dan kacukan atau warisan menunjukkan prestasi yang diyakini dan sangat baik sekali. Tetapi tidak buat tiga pemain naturalisasi yang sepatutnya merekalah beraksi lebih baik daripada pemain tempatan.

"Daripada senarai pemain yang beraksi, saya pilih Syafiq pemain paling terbaik dan efektif, di mana semangat juang tinggi dan dia juga memahami tugas serta tanggungjawab di atas padang.

"Maksud saya, apabila Tan Cheng Hoe (jurulatih) masukkan dia sebagai pemain gantian di bahagian serangan, dia boleh main dengan baik di bahagian atas, manakala ketika diturunkan di posisi tengah pula, dia juga tahu dan faham taktikal yang digunakan.

"Malah, beberapa gerakan dan gol yang terhasil ketika menentang Thailand juga adalah daripada gerakan Syafiq yang kerap menyediakan peluang dan cipta gerakan untuk rakan lain.

"Tapi paling pemain buruk adalah Liridon kerana dalam perlawanan pertama apabila diturunkan dia hancur di bahagian tengah dan tak memahami taktikal dan disiplin.

"Bila dia tak bermain dalam dua perlawanan berikutnya (dalam kesebelasan utama menentang Vietnam dan Thailand), kita dah tahu macam mana teruknya dia bermain," katanya kepada Arena Metro.

Shebby yang juga bekas penasihat global kelab Blackburn Rovers di England pada 2012, menasihatkan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya selepas ini memilih pemain berdasarkan kualiti dan bukannya disebabkan polisi.

"Polisi FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sekarang buka pintu buat pemain naturalisasi, tapi janganlah disebabkan pemain terbabit naturalisasi dan terus dapat tempat bermain.

"Saya harap baik Cheng Hoe ataupun jurulatih lain nanti, buatlah pemilihan pemain di atas prestasi dan bukan sebab polisi," katanya.

"Kalau pemain tempatan itu bagus, jadi turunkan saja dan jangan turunkan pasal dia naturalisasi," katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2021 @ 6:35am
d