utama

'Saya terpaksa bawa anak kerana tak mampu upah pengasuh'

Oleh Redzuan Muharam

Georgetown: "Saya bukan sengaja bawa anak bersama ketika keluar bekerja tetapi terpaksa kerana tidak mampu mengupah pengasuh," kata penghantar makanan, Muhammad Razwan Izuddin Abdullah.

Muhammad Razwan, 29, memberi reaksi itu selepas gambarnya membawa anak bongsu, Muhammad Adam Rizqi yang berusia setahun sembilan bulan tular di laman sosial.

Kisah Muhammad Razwan Izuddin Abdullah dan anaknya itu dikongsikan Sarjan Rahayu Mohd Rodzi, 40, di Facebook (Fb).

Menerusi perkongsian itu, Rahayu yang bertugas di Balai Trafik Bayan Lepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, di sini, meluahkan rasa sayu melihat kesungguhan Muhammad Razwan yang bekerja sebagai penghantar makanan membawa anaknya bersama ketika menghantar pesanan.

Menerusi hantaran sama, Rahayu turut meminta orang ramai membantu selain mendoakan lelaki berkenaan.

Berkongsi kisah sebenar, Muhammad Razwan yang menetap di Paya Terubong, di sini, berkata, dia bekerja sebagai penghantar makanan sejak enam bulan lalu manakala isterinya, Nor Hasliza Abdullah, 24, adalah pembantu di sebuah klinik.

Katanya, disebabkan masing-masing bekerja, tiada siapa boleh menjaga Muhammad Adam Rizqi menyebabkan dia perlu mengambil tanggungjawab membawa bersama anaknya itu ketika keluar bekerja.

"Sebenarnya, sejak awal bekerja sebagai penghantar makanan lagi saya sudah membawa anak kerana tiada siapa ada di rumah untuk menjaganya.

"Pendapatan saya tidak cukup untuk membayar pengasuh kerana masih tinggal menyewa dengan bayaran RM400 sebulan malah tiga lagi anak berusia tujuh, lima serta tiga tahun juga terpaksa dihantar ke kampung untuk dijaga ibu saudara isteri kerana kewangan kini belum stabil.

"Waktu kerja saya agak fleksibel jadi boleh membawa anak bersama ketika mengambil dan menghantar pesanan pelanggan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, setiap kali membawa Muhammad Adam Rizqi, dia akan meletakkan anaknya itu di dalam alat pembawa bayi yang diikat pada badannya.

Muhammad Razwan berkata, dia juga ada memakaikan Muhammad Adam Rizqi topi sebagai pelindung kepala untuk keselamatan.

"Anak saya tidak meragam tetapi dia masih kecil. Jadi, dia tidak faham malah banyak topi dipakaikan dibuang olehnya.

"Saya perlu jelaskan perkara ini kerana ada segelintir netizen mempersoalkan tindakan saya membawa anak keluar bekerja dengan menunggang motosikal.

"Hakikatnya, saya terpaksa dan tidak akan membawanya bersama jika mampu mengupah pengasuh," katanya.

Muhammad Razwan berkata, walaupun pendapatannya tidak menentu, dia bersyukur kerana ada pekerjaan untuk dilakukan selepas menganggur beberapa bulan kerana diberhentikan kerja sebagai tukang cuci di sebuah kilang.

Dia juga berterima kasih kepada semua yang pernah membantu dan mendoakannya selepas kisahnya tular di laman sosial.

"Jika banyak pesanan, saya boleh meraih RM500 dalam seminggu tetapi ada ketika hanya RM200 saja.

"Apapun, saya bersyukur dan ucapkan terima kasih kepada pelanggan kerana ada di antaranya memberi sumbangan kepada anak saya ketika bertemu dengan kami.

"Hanya Allah saja dapat membalasnya dan hari ini, saya akan berpindah ke Mak Mandin, Butterworth dan anak nanti akan dijaga oleh ibu saudara yang tinggal berhampiran," katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2021 @ 9:00pm
d