utama

Anwar dakwa beberapa Ahli Parlimen PN tarik sokongan terhadap PM [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah hilang keabsahan untuk terus mentadbir negara.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau menerima maklumat beberapa Ahli Parlimen PN sudah menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Justeru, beliau mendakwa kerajaan sudah tumbang dan kehilangan majoriti sokongan Ahli Parlimen.

"Kerajaan kini melanggar Perlembagaan Persekutuan dan menghalang Ahli Parlimen menjalankan tugas.

"Malah lebih serius, kerajaan kini dikatakan melanggar titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan rakyat.

"Kita sebagai rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong dan patuh kepada Perlembagaan mahu hadir ke Parlimen bagi membela nasib rakyat.

"Rakyat kini menderita dan terkorban kerana kegagalan kerajaan melaksanakan tugas," katanya ketika berucap dalam perarakan di Bulatan Dato Onn berhampiran Bank Negara Malaysia, di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar bersama pemimpin parti pembangkang lain berarak dari Dataran Merdeka untuk masuk ke Parlimen namun laluan dikawal ketat polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan.

Antara yang hadir, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan pengasas Parti Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perarakan itu dibuat secara aman dan dikawal baik oleh polis yang turut memberi ruang presiden semua parti pembangkang untuk berucap terlebih dulu.

Terdahulu, semua laluan masuk ke Parlimen dikawal ketat polis sejak pagi tadi.

Persidangan Parlimen yang dijadualkan disambung semula hari ini ditangguhkan ekoran pengesanan beberapa kes positif Covid-19 pada Jumaat lalu.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 11:52am
d