utama

Tun M desak Muhyiddin letak jawatan, dakwa kerajaan terbubar

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kegagalan mencapai persefahaman antara Institusi Diraja dan Kabinet Persekutuan menyebabkan kerajaan itu terbubar secara automatik, dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak mengikut proses perundangan tertib oleh kerajaan membuktikan Kabinet yang ada kini tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

"Keadaan itu jelas dilihat menerusi pengumuman kerajaan berhubung pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat walaupun gagal mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Ikut pindaan kita (kerajaan terdahulu) buat sebelum ini, kalau Raja (Yang di-Pertuan Agong) tolak maka dewan (Dewan Rakyat) mesti bincang sebab penolakan itu," katanya ketika berucap di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Pengerusi Parti Pejuang itu berkata, pengumuman pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat yang dibuat kerajaan di Parlimen seolah-olah ia sudah sah menjadi undang-undang.

Katanya, ini kerana Proklamasi dan Ordinan Darurat itu masih belum dikemukakan kepada Parlimen sebelum ini.

Ahli Parlimen Langkawi turut mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin agar meletak jawatan tanpa terus berkeras memimpin negara.

"Apa mahu jadi dengan negara kita? Inilah apabila Perdana Menteri yang tak sepatutnya jadi Perdana Menteri, masuk ikut pintu belakang. Saya harap rakyat faham," katanya.

Katanya, ini menjadi sejarah pertama di Malaysia apabila ahli parlimen tidak dibenarkan untuk ke Parlimen bagi membincangkan isu berkaitan rakyat.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 12:25pm
d