utama

Guru menang kes tuntutan sivil kereta perisai Gempita ATM rempuh keretanya [METROTV]

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Seorang guru menang kes tuntutan sivil terhadap pemandu perisai Gempita AV8 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merempuh kereta dipandunya pada 2019.

R Santhi, 52, turut menamakan ATM sebagai defendan kedua dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga.

Majistret Naziah Mohd Alias membenarkan tuntutan sivil R Santhi dengan sepenuhnya bagi ganti rugi khas dan am termasuk faedah dan kos.

Naziah memutuskan bahawa defendan cuai sepenuhnya dalam kemalangan yang berlaku pada 4 Ogos 2019 selepas meneliti segala keterangan yang dibicarakan.

Peguam, N Naresh berkata, keputusan itu memberi keadilan kepada anak guamnya selepas lebih dua tahun terbabit dengan kemalangan berkenaan.

Menurut Naresh, keputusan yang memihak anak guamnya itu bukan semata-mata kemenangan berkaitan ganti rugi yang dituntut tetapi keadilan dapat dipertahankan.

"Saya berpendapat, kenderaan berat seperti kereta perisai yang mempunyai sudut pandangan terhad perlu diiringi pengawal trafik daripada ATM atau dibantu polis trafik untuk kawalan lalu lintas.

"Ia supaya kenderaan berat ini tidak memberi risiko kepada pengguna jalan yang lain dan juga kerosakan harta benda.

"Secara tidak sengaja, pihak berkuasa yang sepatutnya mempertahankan rakyat boleh mencederakan rakyat sekiranya langkah berjaga-jaga tidak diambil," katanya ketika ditemui media.

Menurut Naresh, sekiranya tidak dapat memperuntukkan pengawal lalu lintas untuk konvoi seperti itu, sekurang-kurangnya, jalan raya yang digunakan untuk konvoi seharusnya ditutup bagi kegunaan kenderaan awam.

Naresh berpendapat, sudah tiba masanya ATM meneliti semula prosedur konvoi yang membabitkan kenderaan besar seperti kereta perisai Gempita supaya tidak mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

"Sekiranya ada kawalan trafik daripada polis ataupun ATM sendiri, kemalangan itu semestinya tidak akan berlaku," katanya.

Sementara itu, Santhi memaklumkan kemenangan itu sekali gus memberi keadilan kepadanya.

"Selama 17 tahun, itulah kenderaan yang saya gunakan untuk berulang alik dan menjadi kereta kesayangan keluarga saya.

"Saya bersyukur kerana selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan sahaja," katanya.

Harian Metro pada 6 Ogos 2019 melaporkan, kereta perisai milik ATM terbabit kemalangan dengan Proton Wira di Jalan Lingkaran Tengah, berhampiran Ampangan, pada 4 Ogos 2019.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim dilaporkan berkata, kejadian jam 4.30 petang itu berlaku ketika kereta perisai berkenaan dalam perjalanan dari Kem Batu 10, Kuantan, Pahang menuju ke Port Dickson.

Disiarkan pada: October 15, 2021 @ 1:09pm
d