utama

Terkejut temukan mayat anak di tingkat dua hotel [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: "Kami baru selesai mandi di kolam renang di tingkat bawah hotel dan bersiap hendak naik ke bilik tetapi tiba-tiba anak saya meluru masuk ke dalam lif.

"Namun ketika mencarinya, kami dikejutkan dengan penemuan tubuhnya yang tidak bernyawa di tingkat dua hotel berkenaan," kata Siti Norra Salleh, 44.

Siti Norra berkata demikian menceritakan insiden yang menimpa anaknya, Nur Airis Hafeeya Faizal, 6, yang ditemukan maut dipercayai terjatuh dari hotel tempat mereka menginap di Tanjung Bungah di sini, dalam kejadian jam 11.30 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Siti Norra berkata, Nur Airis Hafeeya dan empat ahli keluarga sedang bersiap hendak naik ke bilik selepas mandi di kolam hotel berkenaan.

Namun, ketika melihat orang awam keluar dari lif itu, Nur Airis Hafeeya meluru masuk.

"Kami tidak sempat naik lif itu bersamanya dan pintu lif itu juga tutup dengan cepat sebelum mayatnya ditemukan di tingkat dua. Kami tidak menyangka mayat yang ditemukan itu adalah Nur Airis Hafeeya," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mereka sekeluarga menginap di hotel berkenaan sejak semalam bagi bercuti sebelum menghantar anak sulungnya ke Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Balik Pulau di sini, hari ini.

"Saya baharu saja kehilangan ibu dan kini anak pula namun saya reda biarpun amat berat menerima kenyataan itu.

"Masih ingat pada hari kematian ibu, saya meminta Siti Airis Hafeeya mencium neneknya dan dia berkata boleh berjumpa nenek di syurga dan kini baru saya tahu maksudnya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Untuk rekod, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

"Polis menerima maklumat mengenai kejadian jam 12.20 tengah hari dan buat masa ini siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 8:06pm
d