utama

Bonnie raih emas keempat negara, cipta rekod kejohanan

Oleh Daripada Amirullah Andi Nur

Birmingham: Seperti diramalkan, juara dunia, Bonnie Bunyau Gustin memenangi pingat emas acara powerlifting kategori lightweight pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di sini, hari ini.

Kejayaannya itu menambah pingat emas negara kepada empat, hanya kurang dua daripada enam yang disasarkan kontinjen negara.

Ia turut menambah koleksi pingat kejuaraan Bonnie yang sebelum ini bergelar juara dunia sebanyak dua kali iaitu 2019 dan 2021.

Sebelum ini dia adalah juara powelifting pada temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.

Pada saingan final sebentar tadi, Bonnie turut mencipta rekod temasya apabila mengumpulkan 154.6 mata selepas melakukan angkatan 210 kilogram (kg) pada sesi pertama, 216kg (kedua) dan 220kg (ketiga).

Pingat perak dimenangi wakil tuan rumah, England menerusi Mark Swan yang mengumpulkan 147.6 mata dan gangsa milik Innocent Nnmandi (145.5 mata)

Atlet berusia 23 tahun itu mencipta sejarah muncul atlet pertama Malaysia memenangi acara itu di temasya sukan berkenaan.

Pencapaian Bonnie itu mengubat kekecewaannya pada penampilan sulung di Gold Coast, Australia pada 2018, apabila dia terlepas pingat setelah menduduki tangga keempat.

Disiarkan pada: August 5, 2022 @ 1:14am
d