utama

Isteri orang perdaya 18 lelaki serentak

Oleh Agensi

Beijing: Polis Shanghai mengesahkan penahanan model wanita berusia 29 tahun bernama Wu atas dakwaan menipu ramai lelaki.

Agensi berita Newsnpr memaklumkan walaupun dia berkahwin sejak 2014 dan mempunyai seorang anak berusia lebih dua tahun, Wu terbabit secara romantik dengan ramai lelaki sejak 2017.

Pada satu ketika dia berpacaran dengan 18 lelaki pada masa yang sama, berita Radio Shanghai TV.

Wu berpura-pura bersetuju untuk berkahwin dengan lelaki itu, malah mengambil gambar praperkahwinan untuk meyakinkan lelaki berkenaan.

Beberapa orang kemudian jatuh cinta dengannya sehingga mereka mula memanggilnya sebagai 'isteri' ketika berbual secara dalam talian.

Apabila mengetahui 'jerat sudah mengena', Wu meminta wang daripada mangsa.

Kadang-kadang Wu berkata, dia memerlukan wang segera untuk menjaga bapanya yang sudah tua dan menghidap kanser.

Wu berkata, dia mahu meminjamkan wang kepada abangnya untuk membeli apartmen atau menjamin sepupu keluar dari penjara.

Wu juga mendakwa mewarisi harta berharga tetapi tidak mempunyai wang untuk membayar cukai.

Lelaki terbabit percaya kata-kata itu adalah benar, malah ada kalangan mangsa yang menjual hartanah untuk memindahkan wang kepadanya.

Sesetengah daripada mangsa mula mengesyaki helah Wu kerana dia cuba mengelak apabila diminta untuk mendaftarkan perkahwinan mereka.

Sesetengah orang mula menuntut wang kembali yang dipinjamkan oleh Wu dan mengancam untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Wu kemudiannya memulakan 'skim Ponzi' dengan menggunakan wang diperoleh daripada teman lelaki baharu untuk membayar balik hutang bekas teman lelakinya.

Helahnya terbongkar selepas seorang mangsa melaporkan penipuan wanita itu kepada pihak berkuasa.

Pihak berkuasa kemudian menahan wanita itu di sebuah apartmen, yang disewa bersama suami dan anak lelakinya.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 7:00am
d