utama

24 maut, enam kanak-kanak terbunuh di Gaza

Oleh AFP

Gaza: Angka kematian akibat serangan Israel di Gaza meningkat kepada 24 orang, termasuk enam kanak-kanak, menurut pihak berkuasa kesihatan wilayah itu pada Sabtu.

Kementerian Kesihatan di Gaza menyalahkan Israel atas kematian berkenaan yang turut menyebabkan 204 penduduk, cedera.

Tetapi Israel berkata, ia mempunyai bukti "tidak dapat dinafikan" roket sesat dari pejuang Jihad Islam bertanggungjawab atas kematian kanak-kanak di Jabalia, utara Gaza, pada Sabtu.

Tidak jelas berapa ramai kanak-kanak yang terkorban dalam kejadian di Jabalia itu.

Seorang jurugambar AFP melihat enam mayat di sebuah hospital kawasan, termasuk tiga kanak-kanak bawah umur.

Tentera Israel memberi amaran kempen udara dan artileri menentang pejuang Islam boleh berlangsung seminggu.

Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi berkata, Kaherah berhubung dengan kedua-dua pihak untuk meredakan keganasan.

Israel berkata, adalah perlu untuk melancarkan serangan terdahulu (pre-emptive strike) terhadap Jihad Islam.

Rejim itu mendakwa kumpulan pejuang itu merancang serangan yang akan berlaku selepas beberapa hari ketegangan di sepanjang sempadan dengan Gaza.

Sementara itu, orang awam berlindung di tempat perlindungan serangan udara di sebelah Israel, dengan wartawan AFP mendengar siren amaran kebakaran masuk di kawasan Tel Aviv pada petang Sabtu.

Di Rafah, di sempadan Gaza dengan Mesir, wanita dan kanak-kanak terperangkap di bawah runtuhan berikutan serangan Israel.

Seorang komander utama Jihad Islam, Khaled Mansour, disahkan terbunuh dalam serangan di Rafah, pada Sabtu.

Sehari sebelum itu, seorang komander utama kumpulan pejuang sama, Taysir al-Jabari, juga terbunuh.

Tiada pengesahan khusus mengenai kematian Khaled, tetapi ketua direktorat operasi tentera Israel, Oded Basiok dalam satu kenyataan berkata, keseluruhan kepimpinan kanan sayap tentera Jihad Islam di Gaza sudah dineutralkan.

Israel dan kumpulan pejuang Palestin sudah mengesahkan bahawa seorang komander utama kumpulan Jihad Islam, Taysir al-Jabari, terbunuh pada serangan pada Jumaat

Jihad Islam sejajar dengan Hamas, tetapi sering bertindak secara bebas.

Kedua-duanya disenaraihitamkan sebagai pertubuhan pengganas oleh kebanyakan negara Barat.

Hamas berperang empat kali dengan Israel sejak menguasai Gaza pada 2007, termasuk konflik pada Mei lalu.

Serangan dengan Jihad Islam berlaku pada 2019, berikutan pembunuhan Baha Abu al-Ata oleh Israel, pendahulu Jabari.

Hamas tidak menyertai konflik itu.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 8:40am
d