utama

Perjudi nasib negara

Oleh METRO AHAD

Minggu ini Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan beberapa faktor kegagalan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) selepas 10 tahun projek berkenaan dilaksanakan.

  Sebanyak RM6.08 bilion sudah digunakan untuk pembiayaan projek berkenaan namun sehingga hari ini kapal berkenaan masih belum berjaya diserahkan kepada pengguna akhir iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Bagi mengupas isu ini, ikuti wawancara Pakar Keselamatan PROF MADYA DR MOHD MIZAN MOHD ASLAM bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN.

Berdasarkan penemuan PAC, berbilion ringgit terbazir begitu saja, LCS pula masih tidak diterima walaupun sebuah. Komen?

Berbilion ringgit terbazir daripada projek pembinaan LCS yang tidak diterima. Apa yang berlaku adalah kegagalan dalam menguruskan isu berkait dengan keselamatan serta kedaulatan, integriti, kemampuan dan keutuhan negara menghadapi isu keselamatan.

  Kita dapat melihat bahawa isu yang timbul selepas 10 tahun projek ini dilaksanakan dengan peruntukan sudah digunakan berbilion ringgit, hasil tidak ada, malah kita dapat melihat kegagalan dan ini sukar diterima.

  Secara jelas, apa yang berlaku berkait LCS, hasil dapatan daripada PAC amat mengejutkan semua pihak dan sebagai rakyat negara ini, saya sebagai seorang pengkaji keselamatan amat tidak boleh menerima perkara ini berlaku.

  Kita mempunyai rekod kegagalan beberapa projek sebelum ini seperti pemilikan aset yang tidak mematuhi standard spesifikasi merangkumi pelbagai agensi.

  Maka, isu ini yang berlaku dalam salah satu ketumbukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu TLDM mampu menjejaskan kemampuan negara dalam mengawal keselamatan sempadan laut yang luas.

  Secara jelas, rakyat tidak boleh menerima dan ini mengecewakan rata-rata pembayar cukai. Tidak dapat dinafikan, TLDM amat mengingini aset sebegini dalam perkhidmatan namun ia masih tidak dapat direalisasikan.

 

Kedaulatan dan keselamatan negara terjejas kerana pihak berkepentingan menjadikan ia 'bahan perniagaan'?

Kita tidak nafikan bahawa ada pihak melihat bahawa semua yang berlaku bersifat perniagaan dan keuntungan tanpa melihat sama ada untuk negara atau kepentingan peribadi.

  Dalam isu LCS, tidak terkecuali apabila ada pihak yang melihat peluang mengaut keuntungan atau kekayaan. Ia sesuatu yang bersifat sangat materialistik, sekali gus membelakangkan kepentingan negara, kedaulatan dan keselamatan secara keseluruhannya.

  Saya melihat perkara ini sebagai satu yang amat mengecewakan apabila semua perkara dijadikan sebagai perniagaan, semua perkara dilihat daripada aspek menguntungkan pihak tertentu daripada memberikan kebaikan untuk negara.

Maka, natijahnya dapat dilihat menerusi apa yang berlaku.

 

Berdasarkan penemuan PAC, dapat dilihat sikap patriotik pembuat dasar serta individu pernah menjawat jawatan tertinggi dalam angkatan tentera boleh dipersoalkan. Adakah ia lebih kepada ungkapan 'mengapa perlu bersikap patriotik sedangkan tiada keuntungan untuk saya'?

Saya melihat bahawa patriotisme dan peluang perniagaan atau pengkomersialan itu adalah dua perkara berbeza.

Jika seseorang itu tamak dalam perniagaan, tidak bermaksud dia tidak patriotik dan begitulah sebaliknya.

Dalam isu ini, mungkin secara tidak sedar seseorang itu mengambil peluang yang terhidang di depan mata namun tidak menyedari kelemahan atau ketidakmampuannya untuk menguruskan peluang perniagaan itu akan memperjudikan nasib negara secara jelas.

  Selepas berlaku masalah, baru mereka menyedari kesilapan yang sudah dilakukan akibat kelemahan mungkin pengurusan atau ketidakupayaan individu untuk melaksanakan projek besar seperti ini.

  Amat malang apabila secara tidak langsung, ia memperjudikan keselamatan negara dan kapal yang diperlukan oleh TLDM untuk melaksanakan tugas mengawal negara tidak dapat disiapkan. 

 

Penemuan PAC ini kini menjadi isu nasional dengan pelbagai pihak meluahkan rasa tidak puas hati. Apa patut dilakukan, teruskan pembinaan LCS walaupun dikritik atau hentikannya walaupun sudah berbilion terbazir selain banyak kelengkapan kapal termasuk meriam sudah diperoleh?

Pendirian saya jelas bahawa projek ini perlu dihentikan atas beberapa sebab. Pertamanya, jika ia diteruskan, pastinya kontraktor baharu yang dilantik akan mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan sebelum diserahkan kepada kerajaan Malaysia, ketika itu, adakah teknologi perkapalan LCS berkenaan sesuai untuk digunakan.

  Keduanya, arus teknologi pada hari ini sudah jauh berubah berbanding 10 tahun yang lalu, tempoh masa pembinaan yang diberikan iaitu 10 tahun bagi penyerahan kapal tidak dibuat, jadi adakah LCS milik Malaysia ini adalah kapal terbaik atau sebaliknya.

  Ketiganya, hasil daripada permasalahan ini, pastinya kapal LCS ini tidak berada pada posisi selayaknya, sekali gus mampu memberi ancaman keselamatan. 

 

Pengguna akhir iaitu TLDM dilihat menjadi mangsa dalam isu LCS ini. TLDM perlukan kapal utama untuk menjaga kedaulatan perairan yang semakin kerap diceroboh namun impiannya seolah-olah berkubur kerana sikap tidak amanah pihak berkepentingan?

Sebagaimana dinyatakan bahawa end victim adalah pihak TLDM. Rata-rata aset dimiliki tidak cukup baik untuk digunakan bagi mengekang segala bentuk jenayah maritim keselamatan dan kedaulatan negara terutama daripada laut.

  Disinilah kita lihat jalan yang ada iaitu pihak TLDM ketika ini menggesa pihak kerajaan amnya untuk mendapatkan kapal yang lebih terkini, maju dan mampu memperkukuhkan kedaulatan serta keselamatan negara. 

 

Bagaimana mahu memastikan projek pertahanan seperti ini tidak menjadi gajah putih atau tidak dijadikan bahan perniagaan pada masa depan?

Langkah penyelesaian boleh diambil dengan melantik pakar dalam berkaitan kelautan yang boleh dihadiri oleh ahli akademik, pihak TLDM sendiri selain mendapatkan pandangan daripada sektor industri berkaitan, termasuk pandangan dalam dan luar negara bagi melihat satu penyelesaian.

  Perlu juga dicadangkan kepada pihak kerajaan apakah bentuk kapal ataupun aset kelautan yang seharusnya dimiliki negara ketika ini bagi mengurangkan jurang akibat kegagalan penghantaran LCS ini.

  Selain itu, negara juga boleh melakukan kerjasama strategik dengan pihak luar yang terkenal dalam membangunkan industri maritim dan aset pertahanan laut. Pada peringkat ini, jika perlu bekerjasama dengan negara seperti Belanda, Wales, Turki atau Korea Selatan untuk keperluan menambah baik sistem sedia ada.

  Penting untuk mengambil pandangan pakar-pakar TLDM dalam kalangan pegawai yang sudah dihantar menjalani latihan di serata dunia, didedahkan dengan ilmu terkini dan dilatih sesuai dengan perubahan zaman sebagainya.

  Kita tidak boleh lari daripada mengambil pandangan mereka bagi memastikan aset dihasilkan dan dimiliki benar-benar mampu menjaga, mengawal sempadan maritim kita.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 10:00am
d