utama

Kabinet: Anwar umum Zahid, Fadillah Timbalan PM [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Dua Timbalan Perdana Menteri diumumkan dalam Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka adalah Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pengumuman mengenainya dibuat Anwar yang disiarkan secara langsung malam ini.

Selain itu, Ahmad Zahid turut dilantik sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Manakala Fadillah pula sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Sebelum ini, Anwar memberi jaminan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diwujudkan bawah Kabinetnya dalam kalangan wakil komponen kerajaan perpaduan.

Beliau dipetik berkata, ia akan diisi oleh wakil masing-masing daripada Barisan Nasional (BN) dan GPS.


Senarai Barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan


Anwar turut mengumumkan beliau juga akan menggalas tugas sebagai Menteri Kewangan.

Selain itu, Anthony Loke dilantik Menteri Pengangkutan dan Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Mohd Rafizi Ramli diumumkan sebagai Menteri Ekonomi dan Nga Kor Ming dilantik Menteri Pembangunan, Kerajaan Tempatan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilantik Menteri Pertahanan.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi diumum sebagai Menteri Kerja Raya.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dilantik Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Fahmi Fadzil dilantik Menteri Komunikasi dan Digital.

Fadhlina Sidek akan menerajui Kementerian Pendidikan.

Datuk Seri Nancy Shukri dilantik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Datuk Seri Salahuddin Ayub dilantik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Saifuddin Nasution Ismail akan menerajui Kementerian Dalam Negeri.

Dr Zaliha Mustafa dilantik Menteri Kesihatan dan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dilantik Menteri Luar Negeri.

Mohamed Khaled Nordin diumum Menteri Pendidikan Tinggi dan Chang Lih Kang dilantik Menteri Sains dan Teknologi.

Datuk Seri Azalina Othman adalah Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi manakala Nik Nazmi Nik Ahmad dilantik Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Ewon Benedick dilantik Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Armizan Mohd Ali dilantik Menteri JPM (Sabah Sarawak) dan Tiong King Sing dilantik Menteri Pelancongan.

Chang Lih Kang dilantik Menteri Sains dan Teknologi manakala Hannah Yeoh akan menerajui Kementerian Belia dan Sukan.

Aaron Ago Dagang dilantik Menteri Perpaduan dan Ketua Hakim Syarie Mohd Na'im dilantik Menteri Agama.

Senarai penuh barisan Kabinet diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi untuk perkenan agar lantikan segera dapat dilaksanakan.

Menurut Anwar, barisan Kabinet akan dipanggil ke mesyuarat khas Isnin ini untuk penetapan peraturan-peraturan baharu.

Disiarkan pada: December 2, 2022 @ 8:25pm
d