utama

PRU15: PN rampas kerusi Parlimen Padang Serai [METROTV]

Oleh Izad Thaqif Hassan dan Ahmad Mukhsein Mukhtar

Kulim: Perikatan Nasional (PN) Datuk Azman Nasrudin mengakhiri penguasaan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Padang Serai selepas memenangi kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hari ini.

Calon PN Datuk Azman Nasrudin memperoleh majoriti 16,260 undi mengalahkan lima calon lain termasuk saingan terdekat, Dr Mohamad Sofee Razak (PH).

Keputusan pilihan raya itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai Datuk Abdul Bari Abdullah di pusat penjumlahan undi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di sini.

Hadir sama, Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas memperoleh 51,637 undi, manakala Mohamad Sofee memperoleh 35,377 undi, diikuti calon Barisan Nasional (BN) Datuk C Sivaraj (2,983 undi), calon Bebas Sreanandha Rao (846 undi), calon Pejuang Hamzah Abd Rahman (424 undi) dan calon Warisan Mohd Bakhri Hashim (149 undi).

Sivaraj dan Mohd Bakhri sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada pilihan raya itu bagi memberi laluan kepada calon PH, namun nama mereka kekal pada kertas undi kerana pencalonan telah disahkan berdasarkan peraturan pilihan raya.

Pilihan raya di kerusi itu sepatutnya berlangsung pada 19 November lalu, namun ditangguhkan susulan kematian calon disahkan bertanding iaitu M Karupaiya daripada PH.

Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 November dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 10:45pm