utama

Runtuhan semakin parah

Oleh Izad Thaqif Hassan

Kulim: Sejak dua tahun lalu, runtuhan cerun bukit dan hakisan tanah 'menghantui' penduduk di sekitar Taman Cengal Indah di sini, menyebabkan mereka sukar melelapkan mata terutama setiap kali hujan lebat melanda.

Apakan tidak, runtuhan yang dulunya sedikit kini semakin membesar sehingga menimbulkan ketakutan kepada penduduk teres setingkat di kawasan itu kerana dikhuatiri boleh mengancam nyawa atau mengundang kejadian tidak diingini.

Penduduk, Wong Chun Keat, 61, berkata, runtuhan tanah ini berlaku sejak 2021 dan ia semakin serius dari sehari ke sehari terutama apabila hujan lebat melanda.

Menurutnya, sebaik melihat runtuhan dan hakisan tanah yang semakin teruk dia bersama penduduk sekitar membuat aduan kepada Ahli Dewan Undangan (Adun) Kulim, Yeo Keng Chuan dan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK).

"Selepas membuat aduan, kedua-dua pihak (Adun dan MPKK) ada datang meninjau namun penduduk diberitahu MPKK terpaksa menunggu peruntukan untuk membaik pulih kawasan runtuhan itu.

"Namun, sehingga kini penduduk masih menanti kerja baik pulih seperti dijanjikan dan kami amat berharap supaya ia dapat dilaksanakan segera kerana hakisan tanah semakin teruk," katanya.

Menurutnya, dia serta ahli keluarga paling bimbang berikutan rumah didiami paling hampir dengan runtuhan.

"Rumah saya paling hujung dan jarak dengan tanah runtuh itu hanya kira-kira tiga meter sahaja membuatkan kami sekeluarga tidak dapat tidur lena.

"Tidak mustahil sekiranya dibiarkan, ia (runtuhan) akan melarat menjadi semakin besar, sekali gus mengundang kejadian lebih buruk sehingga mengancam nyawa penduduk," katanya.

Sementara itu, Ishak Yahya, 73, berkata, dia menetap di kawasan terbabit sejak 2000 dan runtuhan tanah yang berlaku itu dilihat semakin 'parah' sehingga menghasilkan lubang sangat besar.

"Longkang di kawasan ini menampung air untuk semua taman perumahan di sini dan agak curam menyebabkan air hujan mencurah dengan kuat...lama-kelamaan berlaku hakisan di kawasan itu.

"Hakisan teruk dikesan dua tahun lalu sehingga menyebabkan terbentuknya lubang dianggarkan setinggi bangunan tiga tingkat dan ia amat membimbangkan kami sebagai penduduk di kawasan ini kerana apa sahaja boleh berlaku terutama setiap kali hujan lebat," katanya.

Menurutnya, dia amat berharap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah terbabit dengan segera dan mengambil tindakan serius bagi menanganinya kerana ia dikhuatiri akan menimbulkan situasi lebih buruk kelak.

Disiarkan pada: February 6, 2023 @ 7:05am
d