utama

Pagi kabur sebelah, lepas Maghrib kabur lagi sebelah, esoknya terus tak nampak' - Iqbal Mazlan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon, Iqbal Mazlan, 33, reda dan pasrah apabila dia tiba-tiba hilang penglihatan sejak 5 Mac lalu.

Iqbal yang juga juara program Pilih Kasih pada 2009 berkata, dia kini tidak mampu melihat lagi akibat jangkitan virus.

"Mulanya saya kena sakit kelenjar di celah kelangkang kanan. Ingatkan ia berkaitan dengan masalah mata tapi rupa-rupanya tidak. Jangkitan kelenjar itu pun dah surut.

"Masalah berkaitan mata ini bermula apabila saya bangun pagi, saya dapati penglihatan sebelah mata kabur. Saya cuba tenangkan diri, namun selepas Maghrib penglihatan sebelah lagi mata saya turut kabur. Esoknya iaitu pada 5 Mac kedua-dua mata saya tak nampak terus. Saya kemudian ke Hospital Putrajaya untuk rawatan," katanya kepada Harian Metro.

Iqbal berkata, Hospital Putrajaya kemudian merujuknya ke Hospital Shah Alam kerana kemudahan rawatan mata ada di sana.

"Doktor sahkan mata saya ada jangkitan virus tapi belum tahu jenisnya kerana perlu tunggu ujian darah dulu. Dia juga sifatkan ia sebab kes yang jarang berlaku.

"Ia pernah berlaku pada 2003 dan kes saya adalah yang ketiga. Saya kini diberikan ubat anti virus yang umum dan steroid. Hari pertama masuk hospital, doktor kata ada banyak pendarahan dalam mata.

"Saraf pun banyak rosak dan ada keradangan (bengkak) di kedua-dua belah mata. Sekarang saya dah hampir dua minggu berada di wad," katanya.

Pelakon drama Sofea Zahra ini meletakkan harapan agar dirinya sembuh suatu masa nanti.

Menurut Iqbal, walaupun penglihatannya sembuh 30 peratus pun dia sudah bersyukur.

"Saya tak berharap betul-betul dapat lihat macam dulu. Doktor kata kes-kes lepas semuanya sembuh. Ada yang lepas dua minggu, ada yang selepas tiga bulan dan ada juga yang ambil masa tiga hingga empat tahun.

"Nak kata sedih, dah banyak kali sedih. Sekarang saya rasa kosong. Nak marah, tak boleh dan pelbagai perasaan lagi.

"Benda dah jadi. Bila dah tahu saya tak nampak (hilang penglihatan) nak menangis pun tak berguna. Dah memang kena pasrah dengan ujian Allah," katanya.

Iqbal berkata, selepas dua tahun penularan Covid-19, dia masih bergelut untuk mendapatkan tawaran berlakon.

Katanya, dia ada mengusahakan kafe di Sepang sejak tiga bulan lalu dan sekarang terpaksa ditutup sementara disebabkan masalah ini.

Disiarkan pada: March 16, 2023 @ 4:32pm
d