utama

Akhirnya pulang sambut Ramadan selepas 18 tahun di hospital

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Ketibaan Ramadan kali ini menjadi detik gembira seorang ibu apabila impian membawa anak gadisnya pulang ke rumah menjadi kenyataan selepas 18 tahun terpaksa 'tinggal' di hospital akibat penyakit Cervical Cord Myelopathy iaitu kerosakan saraf tunjang dan pengecutan paru-paru.

Siti Nurul Hidayah Mohamad Sofi, yang kini berusia 25 tahun sebelum ini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah ( HTAN ) Kuala Pilah.

Penyakit itu menyebabkan dirinya perlu menggunakan bantuan alat pernafasan selain hanya mampu menggerakkan bibir sebagai isyarat jika mahu meminta sesuatu.

Ibunya, Dayang Lohani Awang Zain, 56, berkata, perasaannya bercampur baur apabila impian untuk membawa pulang anak ketiga daripada lima beradik itu menjadi kenyataan.

Katanya, usaha untuk membawa Siti Nurul Hidayah pulang sudah disimpan sekian lama.

"Namun disebabkan beberapa kekangan terutamanya dari segi kesihatan dan peralatan menyebabkan usaha itu terpaksa ditangguh.

"Gembira dan sedih semuanya ada, dalam tempoh 18 tahun ini kami sekeluarga berkorban masa dan tenaga selama 24 jam menjaganya di hospital tanpa memikirkan perkembangan dunia luar.

"Alhamduillah dia pun begitu ceria apabila dapat keluar dari hospital dan siapa tahuselepas ini dia dapat bernafas sendiri tanpa menggunakan bantuan alat pernafasan dengan izin Allah SWT," katanya.

Dayang Lohani turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga HTAN, Yayasan Munarah dan semua pihak yang banyak membantunya sama ada secara langsung ataupun tidak dalam memastikan rawatan dan perubatan anaknya itu berjalan dengan baik.

Dia juga tidak menyangka dapat meraikan Ramadan kali ini bersama ahli keluarga selepas 18 menemani anaknya di hospital.

Media pada tahun 2015 melaporkan kisah Siti Nurul Hidayah yang terjatuh dalam bilik air menyebabkan dia lumpuh dan terlantar di HTAN sejak Januari 2005.

Kehidupan mereka sekeluarga sekali lagi diuji apabila bapanya, Mohd Sofi Mohamad Amin meninggal dunia setahun kemudian akibat angin ahmar dan serangan jantung sekali gus menyebabkannya hilang tempat mengadu.

Sementara itu, keluarga Siti Nurul Hidayah pada Rabu lalu turut menerima kunjungan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), yang akan menyalurkan bantuan seunit mesin bantuan pernafasan, set katil pesakit bersama tilam angin dan peralatan-peralatan mekanikal ventilasi pernafasan seperti 'suction catheter', 'suction tubing' dan 'tracheostomy cannula'.

Selain itu, berdasarkan rekod Mains, Dayang Lohani adalah penerima bantuan kewangan zakat secara bulanan sejak tahun 2014 sehingga kini.

Disiarkan pada: March 24, 2023 @ 4:25pm
d