utama

Berpuluh bangkai kucing dalam rumah sewa

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Hobi bunuh dan kumpul berpuluh bangkai kucing di dalam rumah? Persoalan itu timbul susulan penemuan rangka haiwan di rumah sewa milik seorang lelaki di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini.

Penganalisa Jenayah Haiwan yang juga Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, kejadian itu dibongkar susulan aduan penduduk sebuah kondominium berhubung bau busuk di kediaman berkenaan.

Menurutnya, pemilik kediaman yang dihubungi kemudian melakukan pemeriksaan di rumahnya yang disewa seorang lelaki tempatan berusia 30-an pada 11 Mac lalu.

"Difahamkan pemilik rumah berkenaan yang memeriksa rumahnya terkejut apabila menemui berpuluh rangka, organ dan bangkai kucing di dalam kediamannya.

"Malah terdapat anggota badan haiwan yang dikerat-kerat selain daging dikisar lumat di dalam rumah disewanya itu," katanya.

Menurutnya, hasil pemantauan mendapati keadaan dalam rumah sewa itu juga amat teruk dan mengerikan

dengan darah haiwan turut ditemui.

"Terdapat sebuah bilik di kediaman itu turut dipenuhi bangkai haiwan disyaki kucing yang sudah lama mereput," katanya.

Susulan itu satu laporan polis dilakukan pemilik premis kediaman itu di Balai Polis Salak South di sini, pada 13 Mac lalu memandangkan beberapa jiran sudah tidak tahan dengan bau begitu busuk dari dalam rumah sewa berkenaan.

"Malah laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan (khianat ke atas binatang)

"Walaupun tidak diketahui spesis binatang yang mati itu namun ia disyaki kucing berdasarkan bentuk fizikal dan tulang.

"Aduan sama turut dilaporkan kepada Persatuan Haiwan Malaysia dan sudah dipanjangkan oleh Persatuan Haiwan Malaysia kepada Ketua Seksyen Lembaga Kebajikan Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya supaya satu tindakan penyiasatan dapat dijalankan secara komprehensif, segera dan menyeluruh," katanya.

Menurutnya, dakwaan terdapat aktiviti kezaliman haiwan iaitu mematikan kucing dengan secara tragis dan mengerikan ini perlu disahkan serta disiasat.

"Jika benar berlaku unsur kezaliman, Persatuan Haiwan Haiwan Malaysia menuntut pelaku diheret ke mahkamah dan didakwa di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015," katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2023 @ 5:49pm
d