utama

Kumpul RM250k demi 'syurga'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Pasir Mas: Pengorbanan dan jerih perih ibu bapa membesarkan 14 beradik dengan pendapatan tidak seberapa sebagai penoreh getah mendorong anak pasangan itu membina rumah baharu yang lebih selesa untuk membalas jasa insan tersayang.

Hasrat murni itu dilakukan 14 beradik dengan 11 daripada mereka mengumpulkan wang kira-kira RM250,000 bagi membina rumah baharu buat syurga mereka selepas kediaman lama semakin usang dan berhadapan masalah banjir setiap tahun.

Kisah keluarga berkenaan mendapat perhatian apabila menantu, Ramly Yaacob, 67, dan Rohani Mat Zain, 56, iaitu Aida Fitri Napi, 29, berkongsi video di TikTok yang mendapat pujian ramai.

Berkongsi kisah itu, Mohd Tarmize Ramly, 32, berkata video itu dikongsikan di TikTok oleh isterinya sebagai kenangan mereka sekeluarga selepas bapanya meninggal dunia pada 7 April lalu.

Menurutnya, rumah enam bilik dengan empat bilik air itu dibina di hadapan rumah lama mereka di Kampung Chasi To Uban, di sini, pada 2019 dan kini sudah empat tahun diduduki ibu bapanya.

"Ayah meninggal dunia selepas sembilan hari dia diserang angin ahmar dan kami bersyukur arwah sempat merasa empat tahun tinggal di rumah yang lebih selamat, selesa, cantik dan luas.

"Apabila dapat rumah baru mereka sangat gembira, tetapi bagi kami rumah baru itu sebenarnya belum cukup setanding dengan pengorbanan mereka yang menyekolahkan dan membesarkan kami," katanya.

Katanya, dia dan adik-beradiknya yang lain sepakat membina rumah baharu itu kerana tidak sanggup melihat orang tua mereka berdepan masalah banjir hampir setiap tahun hingga menyebabkan rumah hampir menyembah bumi selain usang.

"Kehidupan kami agak sukar ketika kecil kerana mak dan ayah hanya menoreh getah milik orang lain dan hasilnya perlu dibahagi dua, tetapi mereka tetap mengutamakan keperluan dan persekolahan kami.

"Sebab itu apabila semua adik-beradik sudah besar dan ada kerjaya, kami sepakat kumpul duit tetapi tidak tetapkan jumlahnya, ikut kemampuan dan ketika itu juga tiga lagi adik masih bersekolah.

"Selepas duit mencukupi, kami bina rumah di tapak baru dan rumah lama yang juga milik nenek (ibu kepada ibunya) tidak dirobohkan kerana banyak kenangan di rumah itu. Tapak rumah itu juga lebih tinggi, jadi mereka tidak terjejas banjir lagi," katanya.

Selain rumah, mereka juga sepakat membelikan sebuah Perodua Axia untuk kegunaan ibu bapa yang mana bayaran bulanan juga hasil kutipan daripada adik-beradik secara sukarela.

Disiarkan pada: May 18, 2023 @ 7:01am
d