utama

Air mata Lisdawati tumpah di Tanah Suci [METROTV]

Oleh Syuhada Choo Abdullah

Makkah: "Perkara yang paling saya fokus ialah apabila saya mulai faham bahawa kita adalah hamba yang kena kembali kepada-Nya.

"Jadi sebagai pendosa, saya memang mengharapkan pengampunan Allah SWT dan mendapat haji mabrur. Saya juga mendoakan semua rakan yang berniat menunaikan haji, supaya bersungguh-sungguh memasang niat itu. Insya-Allah, akan dimakbulkan Allah SWT."

Berlinangan air mata pelakon terkenal, Lisdawati yang sebak ketika kongsikan luahan sarat dengan emosi mengenai impiannya selepas menjejakkan kaki di Tanah Suci sebagai antara 31,600 Dhuyufurrahman dari Malaysia pada Musim Haji 1444H/2023M.

Isteri kepada pelakon, Fauzi Nawawi itu mengaku masih banyak ilmu perlu ditimbanya bagi terus mendalami Islam, termasuk dengan menghadiri kelas agama, di samping terpanggil untuk menyelami kesungguhan beberapa selebriti dan individu lain yang istiqamah melakukan perubahan ke arah menjadi hamba-Nya yang lebih baik.

"Saya masih mencari... jadi saya memohon kepada Allah SWT agar saya terus istiqamah, diberikan peluang untuk berubah, dan dikurniakan hidayah serta iman yang tetap supaya sentiasa berada di jalan Allah SWT yang betul dan tidak berikut-ikut sebab takut pada zaman sekarang, ada banyak 'simpang-siur'," katanya ketika ditemui pemberita di bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di Makkah, Hotel Rehab Al Jinadiria.

Pemilik nama sebenar, Nisdawati Nazaruddin berusia 45 tahun itu memaklumkan, beliau berlepas ke Tanah Suci bersama ibu, Risda Chalidi, 67, pada 22 Mei lalu selepas diizinkan Fauzi yang tidak menerima tawaran menunaikan haji pada musim ini.

Biarpun sudah berpengalaman ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah sebanyak empat kali sebelum ini, Lisdawati berkata, banyak lagi ilmu harus dipelajari bagi menyempurnakan ibadah haji.

Justeru sebagai persediaan, katanya, beliau mendapatkan bantuan ustaz bertauliah untuk mendalami kursus haji dengan terperinci secara peribadi, selain turut mengikuti kursus anjuran Lembaga Tabung Haji (TH).

"Apabila mendapat tawaran ke Tanah Suci, terasa seperti tidak percaya. Betulkah saya dipilih (menunaikan haji)... saya ada banyak dosa... dosa-dosa lama. Malah setiap hari, saya hendak melakukan solat taubat.

"Saya juga fikir sudah cukupkah (persediaan) untuk datang ke Tanah Suci... terasa takut pun ada. Oleh itu, saya banyak bertanya untuk membuat persediaan, termasuk berkursus. Selain itu, saya banyak berdoa memohon Allah SWT memberi kekuatan serta memudahkan urusan.

"Kalau boleh, biarlah saya dapat menunaikan haji sekali seumur hidup dan mendapat mabrur. Memang terasa takut dan risau tetapi Alhamdulillah, mak sentiasa ada untuk membantu. Mak sudah menghadiri banyak kelas agama sejak dulu. Mak adalah kekuatan saya, dia sangat yakin dengan Allah SWT.

"Apabila yakin, cinta kepada Allah SWT dan percaya bahawa Allah SWT akan memberi kasih sayang, kita akan tenang. Alhamdulillah, saya amat bersyukur menerima panggilan ke Tanah Suci... perasaan saya itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata," katanya.

Lisdawati berkata, beliau mendaftar haji pada 2008 dan menempuhi 'perjalanan panjang' dengan pelbagai dugaan jatuh bangun, sakit perit serta tersungkur, sebelum akhirnya menerima panggilan ke Tanah Suci.

Dalam pada itu, beliau turut kongsikan bicara menyentuh perasaan dengan dua anaknya yang baru berusia lima dan sembilan tahun di tanah air.

"Anak-anak faham... mereka kata: mama nak 'jumpa' Allah SWT, mama nak solat di sana (Tanah Suci), mama buat (beribadah) baik-baik... tetapi anak-anak juga kata mereka rindu dan menangis. Saya juga menangis serta berpesan kepada mereka supaya rajin solat dan mengaji, insya-Allah boleh datang ke sini (Tanah Suci) nanti," katanya.

Ditanya perancangan beliau dalam dunia hiburan apabila kembali ke tanah air selepas menunaikan haji nanti, Lisdawati berkata, bidang lakonan adalah mata pencariannya.

Justeru buat masa ini, katanya, beliau akan meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan dengan menjaga semua batas mengikut Islam, termasuk memakai stoking, baju longgar serta tudung labuh, dan memastikan solat tidak terjejas, selain mendapat keizinan suami dan kerjasama daripada pengarah serta produser.

Namun, Lisdawati mengaku akan lebih selektif dalam berkarya selepas ini, selain banyak berdoa di Tanah Suci agar rezeki suami terus bertambah dan beliau boleh memberi lebih tumpuan terhadap anak-anak di rumah.

Beliau turut memaklumkan antara penampilan terbaharunya ialah melalui drama 'Hijrah Jannah' dengan membawa watak sebagai guru mualaf.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 1:53pm
d