vroom

Lasak urban

Oleh Lizam Ridzuan

PELBAGAI model trak pikap diperkenalkan yang sesuai untuk pelbagai kegunaan gaya hidup.

Antara yang terkini ialah Mitsubishi Triton Phantom Plus Edition. Bagaimanapun, hanya 1,000 unit saja diperkenalkan ke pasaran tempatan.

Ciri utama model ini ialah ia datang dengan satu pilihan warna iaitu Jet Hitam Mica, namun dilengkapi pelbagai aksesori dan kit badan ranggi.

Menambah gaya agresif, ia dipadankan dengan 'door moulding', bantuan pintu kargo, palang sport kemasan hitam kusam, wheel arch ranggi dengan rim aloi 18 inci dengan tayar all-terrain Yokohama Geolander.

Di ruang kabin, tempat duduknya dibaluti kulit sporty dengan pelapik lantai merah, sistem infotainmen skrin sesentuh bersaiz 9 inci serta sistem keterhubungan Apple Carplay dan Android Auto.

Model ini dikuasakan enjin 2.4 liter MIVEC turbodiesel dengan teknologi Pemasaan Injap Bolehubah (VVT). Ia mampu menjana kuasa 181PS dan tork 430Nm.

Untuk lebih kawalan pada pengendalian laluan lasak, ia dilengkapi Easy Select 4WD dengan mod off-road serta Kawalan Penurunan Bukit.

Daripada segi aspek keselamatan, Mitsubishi Triton Phantom Plus Edition didatangkan antaranya dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA) dan Kawalan Kestabilan Aktif (ASC).

Untuk pasaran Malaysia, Mitsubishi Triton Phantom Plus Edition dijual pada harga RM139,700 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun atau 200,000 kilometer, yang mana lebih dahulu.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 7:00am
d