xpresi

Industri kraf kembali 'bernyawa'

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Selepas hampir dua tahun sepi tanpa kunjungan pelancong, Pulau Langkawi, Kedah kini kembali meriah apabila sektor pelancongan di pulau itu dibuka semula menerusi projek rintis Gelembung Pelancongan domestik bermula 16 September lalu.

Pelancaran projek itu memberikan kegembiraan kepada usahawan kraf di pulau berkenaan dan mengharapkan kehadiran pelancong dapat menghidupkan industri berkenaan yang sebelum ini dibaratkan seperti nyawa-nyawa ikan.

Industri kraf antara tarikan pelancongan di Pulau Langkawi dan pelancong perlu memasukkannya ke dalam senarai lokasi wajib dilawati apabila mengunjungi pulau berkenaan.

Penulis berkesempatan menemu bual tiga usahawan kraf ketika menyertai lawatan ke bengkel usahawan kraf dan pelancaran 'Mycraftshoppe' anjuran Kraftangan Malaysia, di pulau berkenaan baru-baru ini.

1. Kamarul Faizy Roslan - Usahawan kraf kaca kristal

Adalah usahawan kraf kaca kristal terkenal di Pulau Langkawi.

Produk dihasilnya begitu unik kerana dibuat menggunakan tangan. Kehalusan seninya menyerlahkan nilai eksklusif pada kraf kaca kristal itu.

Kamarul Faizy berkata, bahan utama membuat kraf kaca kristal ialah pasir silika bersama campuran beberapa bahan lain.

Menurutnya, acuan dipanaskan ke dalam ketuhar khas pada suhu 1,400 darjah Celcius yang menghasilkan kaca cair.

"Kemudian kaca cair ini ditiup untuk menghasilkan bentuk yang diinginkan.

"Sekiranya ingin menghasilkan produk kaca kristal yang lebih besar, teknik tiupan ini perlu lebih kuat.

"Proses membentuk kraf kaca kristal ini perlu dilakukan dengan pantas bagi mengelakkan kaca cair menjadi beku yang akan menyukarkan proses itu (membentuk kraf kaca kristal)," katanya.

Dia yang sudah mengusahkan perniagaan itu selama 18 tahun itu berkata, tempoh paling cepat dapat menyiapkan satu produk ialah dua minit, namun bergantung kepada reka bentuk dan saiz.

Katanya, lebih 100 produk kraf kaca kristal dihasilkannya menonjolkan motif flora dan fauna tempatan seperti periuk kera, bunga raya, kerang dan ikan.

"Tidak ketinggalan burung helang yang cukup sinonim dengan Langkawi, turut dipilih menjadi motif produk kraf kaca kristal.

"Antara produk dihasilkan seperti barangan perhiasan, botol minyak wangi dan pinggan.

"Kebanyakan produk kraf kaca kristal ini untuk dibekalkan ke hotel di Langkawi dan di luar negara seperti Maldives, Singapura serta Thailand," katanya.

Kamarul Faizy berkata, pandemik Covid-19 turut menjejaskan perniagaannya apabila pendapatan merosot sehingga 90 peratus.

Namun dia bernasib baik kerana Kraftangan Malaysia banyak membantu usahawan kraf dengan memperkenalkan platform digital seperti Mycraftshoppe.

"Plafrom ini membantu usahawan dan pengusaha kraf mempromosi dan memasarkan produk secara dalam talian.

"Walaupun ia masih baharu, tetapi menampakkan tanda positif dan sudah memperoleh 10 peratus keuntungan daripada jualan dalam talian ini," katanya.

2. Mohd Jasni Abdullah - Usahawan kraf batik

Sepanjang 20 tahun mengusahakan kraf batik, Mohd Jasni Abdullah, 48, sudah melalui beberapa fasa jatuh bangun dalam perniagaan.

Menurutnya, peristiwa tsunami yang melanda Langkawi pada 2004, menyebabkan pulau itu tidak dikunjungi pelancong sehingga selama tujuh bulan.

"Sejak hampir dua tahun lalu, bergelut pula dengan pandemik Covid-19 dan jualan pernah merudum sehingga RM20,000 sebulan berbanding jualan tertinggi pernah dicapai iaitu RM300,000 sebulan.

"Pengajaran yang saya dapat daripada pandemik ini ialah usahawan perlu mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk menampung kos operasi apabila diuji dengan dugaan tidak dijangka.

"Jika tidak (tiada wang simpanan mencukupi), perniagaan memang sukar untuk bertahan," katanya.

Menyentuh mengenai perniagaan kraf batik yang diusahakannya, Mohd Jasni berkata, dia berpendapat setiap kraf batik dihasilkan perlu menggunakan lilin. Tanpa bahan ini tidak akan menampakkan ciri-ciri keaslian batik.

"Bagaimanapun, setiap pereka batik mempunyai interpretasi yang berbeza. Kelainan produk batik saya ialah mengetengahkan motif lama seperti retak kerana ia jarang digunakan usahawan batik lain," katanya.

Dia berpendapat, motif retak itu mengambarkan buih di pantai dan lautan di Pulau Langkawi.

"Daripada segi pemilihan warna batik pula, saya lebih suka warna pastle dan 'nude' kerana warna ini tidak jemu dipandang," katanya.

Ditanya rahsia perniagaan boleh bertahan selama 20 tahun, Mohd Jasni berkata, dia suka mengkaji fesyen dan menfesyenkan batik rekaannya.

"Fesyen akan mengangkat nilai tradisional batik ini seperti baju kurung, kebaya Perlis, kurung Kedah, kurung Pahang dan kurung Riau.

"Selain aktif dalam pameran tempatan, saya juga sertai banyak pameran di luar negara antaranya di Paris, Hong Kong, Kanada dan Switzerland.

"Untuk pameran di luar negara, saya membawa tradisional tempatan iaitu baju kurung dan baju kebaya batik.

"Saya cuma ubah sedikit konsepnya, tetapi masih menampakkan imej Malaysia kerana itu yang mahu dilihat oleh masyarakat antarabangsa,"katanya.

Mohd Jasni berkata, walaupun lebih awal memasarkan produknya secara dalam talian, namun dia turut menjual di platform digital Mycraftshoppe yang diperkenalkan Kraftangan Malaysia.

Katanya, usahawan kraf digalakkan mendaftar dengan Kraftangan Malaysia kerana agensi ini banyak membantu mereka memasarkan produk.

"Ini juga salah satu cara untuk usahawan kekal dan memajukan perniagaan mereka," katanya.

3. Mohammad Radzi Ismail - Usahawan kraf seramik

Jatuh cinta dengan seramik ketika mengikuti pengajian dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Seramik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendorongnya memilih bidang kraf seramik sebagai kerjaya.

Usahawan kraf seramik buatan tangan, Mohammad Radzi Ismail, 39, mengakui, meminati objek berbentuk tiga dimensi (3D) kerana ia boleh disentuh seperti tanah liat.

Menurutnya, kraf seramik antara bidang mencabar kerana 'bergelumang' dengan tanah liat yang mengotorkan tangan.

"Namun, ia satu aktiviti yang menyeronokkan apabila tanah liat ini dapat dibentuk kepada pelbagai jenis barangan seperti pinggan mangkuk, gelas dan cenderahati.

"Saya mula membuka perniagaan kraf seramik di Pulau Langkawi pada 2015 dan sasaran produk adalah kepada pelancong serta sektor perhotelan di pulau ini," katanya.

Mohammad Radzi berkata, walaupun pandemik Covid-19 memberi kesan yang agak teruk terhadap perniagaan, tetapi dari sudut positif mencetuskan idea kepadanya untuk menjana pendapatan melalui kaedah lain.

"Caranya dengan membuka kelas kraf seramik yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

"Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu, ramai pelancong antarabangsa terkandas di Langkawi.

"Mereka sangat meminati seni dan kelas ini membolehkan pelancong mempelajari serta merasai pengalaman membuat kraf seramik," katanya.

Katanya, dua jenis kelas yang diadakan iaitu kelas asas dan kelas lanjutan.

"Untuk kelas asas, pakej yang ditawarkan serendah RM200 sebulan manakala pakej kelas lanjutan ialah RM600 sebulan dan pelatih akan diajar membuat seramik menggunakan mesin 'wheel throwing.'

"Saya sangat bersyukur apabila Kraftangan Malaysia memperkenalkan Mycraftshoppe yang membantu usahawan memasarkan produk dalam talian dengan lebih meluas," katanya.

Katanya, sebelum ini sepanjang pandemik, dia ada mengambil pendekatan membuat 'live' di akaun Instagram untuk menjual kraf seramik.

Disiarkan pada: October 17, 2021 @ 7:00am
d