xpresi

Berkelana di bumi kanggaru

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

JIKA ingin merasai pengalaman melancong di luar negara yang mengalami empat musim tanpa perlu menaiki penerbangan terlalu lama atau lebih 'dekat' dengan Malaysia, Australia adalah pilihan terbaik.

Dari musim panas hingga musim sejuk yang dingin, semuanya menjanjikan keseronokan tersendiri kepada pelancong terutama dari negara beriklim tropika seperti Malaysia.

Untuk musim panas iaitu antara Disember hingga Februari umpamanya, warga tempatan dan pelancong akan memilih kawasan pantai Australia yang terbentang luas sama ada melakukan aktiviti renang mahupun sukan luncur.

Di Sydney, antaranya, pantai di kawasan Bondi, Bronte, Coogee memiliki kawasan persisiran yang indah untuk pelancong bersantai bersama seisi keluarga

Pelancong juga boleh ke Esperance bagi merasai pengalaman persisiran pantai putih yang begitu indah.

Aktiviti lain yang boleh dilakukan di pelbagai lokasi indah di Australia adalah berjalan-jalan atau bersantai menikmati kehijauan alam semula jadi.

Untuk musim luruh iaitu antara Mac hingga Mei pula, pemandangan indah dedaun hijau pepohon bertukar warna kepada oren dan merah boleh dilihat kebanyakan kawasan di negara itu.

Di Canberra, pelancong boleh bersantai menyusuri kawasan Tasik Burley Griffin yang memiliki pemandangan mengasyikkan.

Selain itu, boleh juga berkunjung ke National Arboretum untuk melihat kawasan hutan yang diwarnai kehijauan, merah hingga oren.

Jika mempunyai bajet lebih, jangan ketinggalan menaiki belon udara panas untuk menerokai bandar sambil m

enikmati semua mercu tanda menarik di ibu negara Australia itu.

Sepanjang musim sejuk yang bermula dari Jun hingga Ogos pula, pelancong boleh menikmati keseronokan aktiviti salji seperti meluncur salji di kawasan pergunungan di Negeri New South Wales, Australian Capital Territory dan Victoria.

Memang menarik menikmati percutian musim sejuk di pertengahan tahun, bukan?

Musim penuh keindahan, musim bunga antara September hingga November pula menyaksikan landskap bumi kanggaru itu diserikan dengan bunga-bungaan indah.

Tasmania juga perlu diletakkan dalam senarai keutamaan kerana ia memiliki pelbagai lokasi menarik untuk aktiviti mendaki termasuk Three Capes Track, apabila pelancong mungkin bertuah menyaksikan ikan paus di laut.

Bagi penggemar aktiviti lasak, anda boleh berkunjung ke Sungai Franklin untuk 'water rafting' atau mengikuti bot persiaran ke Pulau Bruny bagi menjejaki habitat hidupan liar.

Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti dan festival menarik untuk disertai antaranya, Scenic Rim Eat Local Week di Scenic Rim, Queensland (sehingga 3 Julai) yang sesuai untuk mereka yang suka mencuba pelbagai hidangan.

Daripada kelas masakan, melawat ladang hingga ke pengalaman makan eksklusif oleh cef terkenal, aktiviti itu boleh disertai di seluruh wilayah Scenic Rim yang terletak hanya satu jam memandu dari Brisbane dan Gold Coast.

Festival Truffle yang diadakan sehingga pertengahan Ogos depan di Canberra juga menarik untuk dikunjungi khususnya bagi penggemar juadah mewah itu.

Pelancong berpeluang merasai sendiri pengalaman mencari truffle, demonstrasi masakan, bengkel serta sesi makan tengah hari dan makan malam eksklusif.

Dalam pada itu, jika mengunjungi Australia akhir bulan ini, jangan ketinggalan mengikuti acara Winter Wonderlights menarik yang diadakan di Bendigo, Victoria sehingga 17 Julai depan.

Pada sebelah siang, kawasan Sovereign Hill dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti, jualan makanan dan dekorasi berwarna warni.

Namun apabila matahari terbenam, kawasan itu bertukar wajah dan dimeriahkan dengan pertunjukan cahaya iluminasi dan bangunan di jalanannya juga dimeriahkan dengan pelbagai dekorasi lampu berwarna-warni.

Sementara itu, sepanjang Julai ini, bandar Adelaide juga akan mengadakan acara musim sejuk terbaharu iaitu Iluminate Adelaide.

Pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai acara inovasi, seni, muzik dan cahaya menarik oleh artis tempatan dan antarabangsa.

Disiarkan pada: June 26, 2022 @ 7:00am
d