xpresi

Memperkasa sektor agrikomoditi

Oleh Nurul Husna Mahmud

Di peringkat antarabangsa, pasaran sektor agrikomoditi negara terus kukuh menerusi produk peringkat huluan dan hiliran.

Malaysia adalah penghasil minyak sawit (tan per hektar) tertinggi dalam kalangan lima negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia. Di samping itu, Malaysia juga pengeluar dan pengeksport sarung tangan getah terbesar selain pengisar koko keenam terbesar di dunia.

Namun tidak menolak cabaran khususnya pandemik yang merencatkan ekonomi dunia sekali gus mempengaruhi sektor agrikomoditi negara.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin, dalam tempoh yang sama hasil komoditi utama negara seperti sawit, getah dan koko juga merosot atas beberapa faktor.

Katanya cuaca tidak menentu, ketidaksuburan tanah, serangan penyakit dan perosak, amalan pertanian baik yang tidak konsisten, kekurangan tenaga kerja serta saiz ladang yang tidak ekonomik.

"Hasil komoditi yang merosot atas pelbagai memberi kesan pertumbuhan KDNK sektor agrikomoditi hanya 1.1 peratus pada kadar pertumbuhan purata tahunan (Compound Annual Growth Rate - CAGR).

"Pendapatan eksport turut berkembang dengan perlahan pada kadar CAGR 2.9 peratus (2010-2020) meskipun terdapat peningkatan sebanyak 20 peratus keluasan tanaman dalam tempoh berkenaan.

"Justeru, langkah proaktif sektor agrikomoditi supaya terus berdaya tahan dan seiring dengan perkembangan global dan agenda nasional dilaksanakan menerusi inisiatif terbaharu iaitu Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030)," katanya.

Tambah Zuraida, dasar berkenaan cukup penting untuk menetapkan hala tuju sektor agrikomoditi dalam dekad akan datang, secara holistik bagi menangani tiga cabaran utama.

"Tidak dinafikan isu kebergantungan yang tinggi terhadap tenaga pekerja asing kurang mahir memberi kesan kepada produktiviti. Keduanya, adalah peningkatan kos pengeluaran untuk memastikan produk agrikomoditi terus mampan.

"Kekurangan kepelbagaian produk dan penjanaan nilai serta pembangunan ekonomi kitaran yang terhad mengurangkan daya saing dengan negara ekonomi baharu adalah cabaran ketiga perlu ditangani faktor DAKN 2030," katanya.

Dijangka dasar itu memberi penekanan kepada sektor tumpuan antaranya minyak sawit, getah, kayu-kayan dan koko sebagai pemacu utama ekonomi negara Malaysia.

Pembangunan sektor sawit

Selari dengan perkembangan dalam agenda kemampanan global, kerajaan mengemas kini Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2022 dan giat merancakkan aktiviti Pensijilan MSPO di seluruh negara dengan pelaksanaan program latihan, taklimat serta promosi bagi sektor pekebun kecil.

Bagi mengurangkan beban kos buat komuniti pengusaha sawit, kerajaan turut menyediakan insentif sebanyak RM30 juta pada 2019 bagi membiayai kos Pensijilan MSPO, merangkumi kos yuran, latihan berkaitan, penyediaan papan tanda kebun, rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).

Pada masa yang sama, pelbagai skim pembiayaan turut tersedia untuk membantu pekebun kecil antaranya, Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe), Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa), Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS).

Daripada segi kelestarian sektor komoditi terbabit, MSPO menyatakan sawit tidak boleh ditanam di atas tanah yang mempunyai nilai biodiversiti tinggi melainkan ia dijalankan dengan mematuhi perundangan biodiversiti negara atau negeri.

Penubuhan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) membantu mengurangkan kos pengangkutan, mendapatkan harga pasaran buah tandan segar yang lebih tinggi dan menggalakkan penjanaan pendapatan serta pengagihan dividen kepada ahli-ahlinya.

Pembangunan sektor getah

Dalam sektor ini, 'Global Funding for Rubber Innovation (GFRI)' diperkenalkan Majlis Getah Malaysia (MRC) bagi mewujudkan ekosistem yang lengkap menyokong pembangunan industri getah dalam bidang yang berkaitan seperti penyelidikan dan pembangunan (R & D).

Objektif utama GFRI menggalakkan penjanaan idea, inovasi dan ciptaan bagi produk serta teknologi getah dengan daya pengkomersialan yang tinggi untuk menarik pelaburan dalam industri getah Malaysia.

Produk getah Malaysia kini dieksport ke 189 buah negara di seluruh dunia dengan kadar eksport yang meningkat sebanyak 50.6 peratus daripada RM40.1 bilion pada 2020 kepada RM61.7 bilion pada tahun 2021.

Sementara itu di Kedah, Projek Transformasi Perusahaan Getah (TARGET) untuk agrikomoditi getah di negeri itu bakal meningkatkan daya saing pekebun kecil.

Pembangunan kayu kayan

Pada 2021, sektor perkayuan antara penyumbang ketiga terbesar kepada sektor agrikomoditi negara selepas industri kelapa sawit dan getah dengan mencatatkan kadar eksport sebanyak RM22.7 billion.

Di Malaysia, jumlah syarikat pengusaha produk komposit kayu-plastik (WPC) masih sedikit. Namun sub-sektor ini berpotensi menggerakkan lagi industri perkayuan Malaysia, lebih-lebih lagi dengan visi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menjelang tahun 2030.

Terbaru, Malaysia menandatangani memorundum persefahaman (MoU) bersama All Pakistan Timber Traders Association (APTTA), pemain industri terkemuka di Pakistan yang bakal meningkatkan jumlah eksport komoditi kayu.

Pembangunan sektor koko

Nilai transaksi belian biji koko kering 'single origin' dalam negara pada suku tahun pertama tahun ini adalah sebanyak 10.94 metrik tan, iaitu 7.5 peratus dari jumlah pengeluaran biji koko negara bagi tempoh yang sama.

Permintaan untuk biji koko 'single origin' atau koko premium yang semakin meningkat, Lembaga Koko Malaysia kini menekankan fokus terhadap pembangunan biji koko dan produk koko premium bagi meningkatkan pendapatan pekebun koko. Harga biji koko premium secara puratanya adalah lebih tinggi, bernilai antara RM12 hingga RM16 sekilogram.

Pada masa yang sama, industri koko juga dilihat menyumbang kepada pembangunan agro pelancongan, apabila pengeluaran hasil koko bakal memacu industri inap desa setempat.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 6:20am
d