xpresi

1,500 ruang pameran, jualan

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

SELEPAS empat tahun, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 akhirnya kembali menemui orang ramai.

Pameran yang bertemakan Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan itu diadakan sehingga 14 Ogos ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Ia memberi fokus kepada Agro Trade, Agro Edutainment, Agro Lifestyle, Agro Youth, Agro Technology , Agro Job Fair dan Agro Tourism yang membabitkan aktiviti perniagaan, padanan perniagaan, mempromosi produk tempatan serta antarabangsa.

Selain itu, ia turut mempromosi kesedaran kepentingan sektor agromakanan dalam menjamin sumber bekalan makanan negara serta gaya hidup dan aktiviti nilai tambah di sepanjang rantaian.

Pameran berkenan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam dan turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Sebanyak 1,500 ruang pameran dan jualan disediakan mengikut segmen termasuk pameran oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta dan badan korporat serta pengoperasian laman dan rumah negeri.

Antara laman yang dipamerkan adalah Laman Florikultur, Laman Agro Food Padi, Laman Nanas, Laman Ternakan, Laman Perikanan, Laman Sayur dan Herba serta Laman Mekanisasi.

Orang ramai yang hadir ke MAHA 2022 berpeluang mendapatkan pelbagai tip dalam penternakan antaranya burung puyuh, arnab pedaging, ayam arab, bebiri baka santa ines, kambing tenusu dan produk hiliran.

Pengunjung berpeluang melihat lembu pejantan baka, demonstrasi pemeriksaan kebuntingan, permanian beradas dan pengumpulan semen, pameran statik oleh Jabatan Veterinar, pameran dan jualan ayam kampung serta unggas, pameran dan jualan produk haiwan kesayangan serta banyak lagi.

Di Laman Perikanan pula, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat mengenai industri perikanan tempatan termasuk ternakan udang putih dan pameran spesies ikan terpilih

Malah pengunjung juga berpeluang mencuba memancing Yellow Fin Tuna menggunakan simulator dan memancing udang galah segar di Laman Perikanan.

Selain menyediakan info penanaman hingga proses menuai padi, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan di Laman Agro Food Padi kepada pengunjung antaranya sukan rakyat, bola sepak bendang, menangkap ikan, itik dan kilang padi mini.

Pada masa sama, pengunjung turut berpeluang mendapatkan beras lima kilogram dengan harga RM10 sahaja pada waktu 'happy hour'.

Di Laman Nanas, pengunjung boleh mendapat info mengenai kisah kejayaan usahawan, demonstrasi masakan berasaskan nanas, mewarna batik nanas, jualan produk dan banyak lagi.

Sementara di Laman Sayuran dan Herba pula, pengunjung berpeluang mendapatkan ilmu berguna di sesi bicara santai mengenai keajaiban herba, demonstrasi kaedah pemeliharaan ratu lebah kelulut, penyimpanan sayur-sayuran dan buah-buahan yang selamat, klinik usahawan kelulut, teknik cantuman pokok mangga, nangka dan limau bali serta banyak lagi.

Bagi penggemar mesin dan jentera pertanian, Laman Mekanisasi wajib dikunjungi.

Selain pameran muzium mini, demonstrasi jentera dan peralatan pertanian turut diadakan.

Penganjuran sepatutnya dibuat pada 2020, tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan, ia tidak dapat dianjurkan.

Penganjurannya menjadi indikator utama dalam usaha kerajaan memacu pemulihan sektor pertanian dan agromakanan negara selain membantu usahawan tani untuk pulih dan menjamin sekuriti makanan negara.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 6:30am
d