PEMAIN Terengganu tak sabar pamer kemampuan.
PEMAIN Terengganu tak sabar pamer kemampuan.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kelebihan beraksi di laman sendiri mahu dimanfaatkan sebaik mungkin pemain Terengganu dalam misi melayakkan diri ke final Piala FA sekali gus mahu mengulangi pencapaian menjuarai saingan berkenaan pada 2011.

Kapten Terengganu Abdul Latiff Suhaimi berkata, kata-kata perangsang jurulatih Irfan Bakti Abu Salim membakar semangat pemain untuk memperaga aksi lebih 200 peratus ketika bertemu Kedah, malam esok.

“Kami akan turun dengan tekad untuk memburu tempat ke perlawanan akhir dan peluang beraksi di laman sendiri dengan sokongan padu lebih 10,000 peminat setia digunakan sebaik mungkin.

“Ketinggalan satu gol kepada Kedah tidak memberi tekanan malah kami anggap keputusan itu seolah-olah 0-0 dengan impian kami mahu menang sekurang-kurangnya 2-0 untuk melangkah ke final.

“Kami yakin dengan prestasi terkini dan komitmen rakan sepasukan terutama dengan kehadiran semula pemain import Lutfulla Taraev, kami mampu melakukan kejutan ke atas Kedah,” kata kapten berusia 28 tahun.

Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok bakal menyajikan persaingan lebih menarik kerana pengendali kedua-dua pasukan menerapkan taktikal berbeza selain perang psikologi yang sudah bermula.

Mengulas lanjut, Latiff berkata, Terengganu yang tewas 0-1 dalam aksi pertama di Stadium Darul Aman sudah pasti tidak mahu berputih mata apatah lagi musim lalu skuad Peteh Terengganu Peteh turut mengalami nasib sama.

“Kekuatan Kedah adalah di bahagian tengah, namun itu cerita aksi pertama di laman mereka. Malam esok kami akan rantai dan matikan pergerakan pemain tengah mereka dengan sebaik mungkin selain mengamalkan disiplin terbaik untuk menang,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Faiz Mohd Nasir atau lebih dikenali sebagai 'Messi Terengganu' berkata, peluang beraksi di separuh akhir Piala FA yang pertama baginya itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Ketinggalan 0-1 tidak begitu membimbangkan kerana kami sudah bertekad untuk kembali bangkit bagi memadam defisit itu dengan kemenangan sekali gus melakar kejutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 8:55 AM