PEMAIN Pahang Hoe Jae Won (depan) bersama rakan sepasukan menjalani sesi latihan.
Aziman Rosdi


Kuantan: “Saya pernah menang beberapa gelaran sebelum ini tapi Piala FA tetap menjadi keutamaan saya,” kata penyerang Pahang Matheus Alves menjelang kemuncak pertembungan dengan Kedah pada final Piala FA di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pemain import dari Brazil itu sudah mengumpul 12 gol dalam kancah Liga Super dan mengukir nama dua kali dalam saingan Piala FA pada musim pertamanya bersama skuad Tok Gajah.

Justeru, Alves pantas memberi amaran kepada Kedah yang dia masih belum puas dengan rekod jaringannya itu.

“Memang sebagai penyerang saya mahu menjaringkan gol setiap perlawanan. Tapi saya lebih utamakan kemenangan pasukan. Saya perlu bantu pasukan dalam setiap aspek bukan saja menjaringkan gol.

“Kami perlu berusaha lebih keras dan saya percaya kami ada peluang baik untuk menang,” katanya.

Alves, 23, yang sebelum ini beraksi dengan kelab Korea Selatan Gangwon FC bakal menjadi taruhan jurulatih Dollah Salleh di bahagian serangan selain dibantu seorang lagi pemain import Mohamadou Sumareh untuk merobek gawang Helang Merah, Sabtu ini.

Ini kali pertama Pahang bertemu Kedah di pentas final Piala FA dan daripada tiga final sebelum ini, skuad Tok Gajah berjaya menang dua kali ke atas FELDA United pada 2014 dan Perlis (2006) selain tumpas di tangan Sabah (1995).

Menurut Alves, meskipun mereka tewas 1-4 kepada Kedah dalam perlawanan Liga Super, Februari lalu namun dia percaya aksi final adalah suasana berbeza.

“Kedah pasukan yang bagus, kami kalah kepada mereka sebelum ini tapi final adalah perlawanan berbeza, mana-mana pasukan ada peluang menang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 8:45 AM
Skip this ad x