MBI 2 muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Bandar Ipoh.
Azizan Hashim


Ipoh: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 2 menewaskan juara bertahan Majlis Perbandaran Klang (MPK) 2-1 untuk muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Bandar Ipoh edisi IV di Stadium Perak, baru-baru ini.

Tuan rumah MBI 2 memperoleh jaringan menerusi pemain lincah mereka, Che Azizul dan Mohd Ifdal Hafis manakala gol tunggal MPK hasil jaringan Nur Iskandar pada babak pertama permainan.

Kemenangan itu membolehkan MBI 2 membawa pulang wang tunai RM10,000, piala pusingan dan medal.

Setiausaha Bandaraya merangkap pengurus pasukan Bolasepak MBI Zakuan Zakaria berkata, pasukannya menunjukkan aksi meyakinkan sehingga berjaya mengatasi pasukan pilihan kejohanan itu di final.

Katanya, walaupun keletihan, pasukannya menggunakan pengalaman pemain di beberapa kejohanan kompetitif untuk mengatasi lawan dalam setiap perlawanan.

“Kemenangan ini kejuaraan kedua selepas menjuarai Piala Datuk Bandar Ipoh edisi ke-2 pada 2015. MBI juga menjuarai Piala FA Persatuan Bolasepak Ipoh, tempat kedua Liga Super PBI tahun ini.

“Kemenangan ini menyuntik moral pemain untuk terus beraksi cemerlang dalam kejohanan akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 10:38 AM