ANNUAR (kiri) bersama Abou Bakr (tengah) selepas sidang media. FOTO Zaman Huri Isa
Mohamad Zulhairie Manzaidi
sukan@hmetro.com.my


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan mengikat pemain kebangsaan Lubnan, Abou Bakr Al Mel bagi mengisi kekosongan ditinggalkan import terdahulu, Mohammed Ghaddar yang berhijrah ke kelab Johor Darul Ta'zim (Johor DT).

Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, Abou Bakr atau diberi nama gelaran Bako melengkapkan kuota pemain import Asia pasukan The Red Warriors (TRW) dan kontraknya berakhir 2018.

"Bako baharu berusia 24 tahun, merupakan rakan senegara Ghaddar dan pernah bersama skuad kebangsaan Lubnan.

"Dia juga adalah pemain kelab Tripoli FC dan pemenang kasut emas Divisyen Satu Lubnan.

"Keputusan membawa Bako juga dibuat lebih awal, bukan selepas Ghaddar menyuarakan hasrat untuk meninggalkan pasukan," katanya ketika sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, KAFA kini sedang menyelesaikan urusan dokumentasi dan pendaftaran Bako, malah pemain itu dijangka tampil dengan aksi sulung ketika perlawanan menentang Pulau Pinang, Khamis depan.

Ketika diminta mengulas nasib seorang lagi pemain import TRW, Alessandro Celin, Annuar bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Yang Celin, itu saya tiada komen dan kita akan tunggu perkembangan selanjutnya selepas ini," katanya.

Pada Selasa, Naib Presiden KAFA Datuk Muhammad Nasir Hamzah mendedahkan Ghaddar sudah tidak lagi mempunyai hati untuk bermain bersama Kelantan selepas tertarik dengan tawaran lumayan dari Johor DT.

Beliau tidak menafikan tawaran perpindahan bekas ayam tambatannya itu adalah lumayan, namun enggan mendedahkan jumlahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 4:22 PM