PENGARAH Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Malaysia Mahendra Gursahani (dua kiri) bergambar dengan pemenang.
PENGARAH Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Malaysia Mahendra Gursahani (dua kiri) bergambar dengan pemenang.

Kuala Lumpur: Seperti dijangka, pelari Kenya mendominasi perlumbaan Maraton Kuala Lumpur Standard Chartered bagi kedua-dua kategori terbuka lelaki dan wanita.

Pada perlumbaan yang bermula dan berakhir di Dataran Merdeka di sini semalam, menyaksikan pelari Kenya menguasai 10 tempat teratas dalam kategori lelaki, manakala dalam kategori wanita, tiga pelari Habsyah memecah penguasaan pelumba Kenya dalam kedudukan 10 terbaik itu.

Cosmas Matolo Muteti mencatat masa 2 jam 18 minit dan 43 saat untuk mengatasi rakan senegara dan juara bertahan Kennedy Lilan dan Tonui Kiprop, yang masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga dengan masa 2’19:35s dan 2’20:38s.

“Saya tidak mendahului perlumbaan dari awal. Saya hanya berlari di belakang kelompok hadapan dan tidak bergerak ke depan kerana menyedari saya mampu memenangi perlumbaan itu kira-kira 5km sebelum garisan penamat.

“Kami berlari kira-kira 22km sejam. Menuju ke garisan penamat, saya berusaha keras memenangi saingan ini. Perlumbaan ini agak sengit, dengan cuaca panas terik tidak seperti bulan lalu apabila saya mengambil bahagian dalam Maraton Perlis,” kata pelari berusia 26 tahun itu.

Kejayaan itu kemenangan keduanya di Malaysia selepas memenangi Maraton Perlis pada 30 April lalu.

“Saya berjaya memperbaiki catatan masa saya di sini. Dalam Maraton Perlis, saya melakukan dua jam dan 24 minit,” kata Muteti yang memiliki catatan terbaik peribadi dua jam dan 22 minit.

Kejayaan itu menyaksikan Muteti meraih AS$17,500 (RM75,700), manakala Lilan membawa pulang AS$7,500 (RM32,000) dan Kiprop menerima AS$5,000 (RM21,000).

Sementara itu dalam kategori wanita, pelari Kenya Elizaberth Chepkanan melintasi garisan penamat dengan catatan 2’36:14s. Seorang lagi pelumba Kenya, Vicoty Chepkemoi di tempat kedua dengan masa 2’40:08s manakala pelumba Habsyah, Zeritu Begashaw Wakijira di tangga ketiga dengan masa 2’42:56s. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 10:31 AM