NAIB Presiden, Jenama dan Komunikasi Kumpulan Telekom Malaysia, Izlyn Ramli (kiri) dan bekas jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe membuat cabutan negeri Kedah bagi Kumpulan C pada Majlis Undian Piala Malaysia 2017. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Firdaus Hashim


JUARA bertahan Piala Malaysia, Kedah mengharungi laluan mudah untuk mara ke suku akhir saingan Piala Malaysia musim ini apabila diundi dalam Kumpulan C manakala Johor Darul Ta'zim (Johor DT) berada dalam kumpulan maut, Kumpulan D.

Lang Merah yang masih segar dengan gelaran selaku juara Piala FA yang dimenangi Sabtu lalu dijangka tidak menghadapi masalah berdepan dengan UiTM FC, Melaka United dan Kelantan dalam kumpulan yang sama.

Ketika skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff mampu tersenyum lebar menyaksikan undian itu, juara Liga Super musim lalu Johor DT bakal berdepan tugas paling getir diundi bersama juara sebanyak 33 kali iaitu Selangor, Terengganu dan Sarawak.

Bekas juara Piala Malaysia, Pahang turut merintis laluan mudah untuk ke suku akhir selepas diundi dalam Kumpulan A bersama-sama T Team, Negeri Sembilan dan PKNP FC.

Manakala dalam Kumpulan B pula membariskan pasukan Perak, FELDA United, PKNS FC dan Kuala Lumpur dilihat mempunyai peluang yang seimbang untuk mara ke pusingan kalah mati itu.

Aksi Piala Malaysia dijadualkan bermula pada 4 Julai depan dengan dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir.

Untuk rekod, saingan final musim lalu dimenangi Kedah apabila berjaya menewaskan Selangor menerusi keputusan 1-0 yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 12:10 AM