AFP

Milan: Bintang MotoGP Valentino Rossi (gambar) menyatakan dia kini bergelut untuk pulih tepat pada masanya bagi perlumbaan kejohanan dunia hujung minggu ini di Mugello selepas mengalami kecederaan berikutan kemalangan ketika latihan.

Rossi, dikenali di litar sebagai ‘The Doctor’, dibenarkan pulang dari hospital di Rimini hujung minggu lalu selepas rawatan berikutan kecederaan dada dan perut dialami ketika dia berlatih dengan menunggang motocross.

Terdesak untuk kembali bersaing selepas terbabas di selekoh akhir pada Grand Prix Perancis di Le Mans dua minggu lalu dan merudum ke tangga ketiga kedudukan penunggang, bintang berusia 38 tahun itu berkata, dia tetap yakin namun tidak begitu pasti jika dia boleh berlatih di litar, hari ini.

“Tidak mudah untuk berada di sana,” kata Rossi kelmarin.

“Malangnya saya cedera ketika berlatih dengan motocross, kesakitan di perut dan dada saya masih terasa.

“Mujurlah saya semakin baik hari demi hari dan ia membuatkan saya optimis bagi hujung minggu ini di Mugello.

“Saya tetap mahu berada di sana tidak kira apa yang berlaku dan saya akan berusaha untuk cergas. Ia tidak mudah tapi saya mempunyai beberapa hari untuk pulih.

“Jika saya OK pada Khamis (semalam), Jumaat (hari ini) saya akan menyertai sesi latihan bebas untuk melihat dengan jelas keadaan saya. Satu perkara yang pasti, saya akan melakukan yang terbaik untuk berada di sana.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 9:38 AM