Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Masalah kecederaan menyelubungi skuad Bawah 22 tahun negara (B-22) apabila pengendali Datuk Ong Kim Swee terpaksa menggugurkan tiga tonggak termasuk Ahmad Khairil Anuar Zamri (gambar kiri).

Selain pemain tengah Perak itu, dua lagi pemain diketepikan daripada skuad ke China minggu depan adalah pemain FELDA United Ahmad Azriddin Rosli dan Nur Shamie Iszuan Amin dari Sarawak.

Mereka mengalami kecederaan ketika sesi latihan pusat skuad B-22 dan kehilangan itu segera diisi pemain Kuala Lumpur Irfan Zakaria, Sean Eugene Selvaraj dan L Kalaiharasan (Negeri Sembilan) yang sudah bersama pasukan kelmarin.

Bagi Kim Swee, keputusannya untuk mengetepikan Ahmad Khairil atau turut dikenali sebagai Beto adalah bagi mengelak risiko kecederaan lebih teruk.

“Kami perlu berhati-hati dengan tahap kecederaan Beto kerana kami hanya ada masa seminggu sebelum bertolak ke China.

“Pada saya keputusan terbaik adalah meninggalkannya di sini bagi mengikuti program pemulihan bersama ISN (Institut Sukan Negara). Dia akan kembali apabila kami balik dari China bersama dua lagi pemain Khairil dan Nur Shamie,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan kelmarin.

Skuad muda negara akan berlepas ke China, 8 Jun ini bagi mengharungi aksi persahabatan dengan skuad B-22 China pada 10 Jun, skuad simpanan Guangzhou R&F (13 Jun) dan Guangzhou Evergrande (15 Jun).

Perlawanan itu antara persiapan Kim Swee sebelum membawa anak buahnya menyertai pusingan kelayakan Kejohanan B-23 AFC di Bangkok pada Julai depan dan selepas itu, Sukan SEA Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 4:43 AM