KHAIRUL (tengah) mempunyai tunggakan gaji bernilai RM77,486.87.
myMetro

Kuala Lumpur: Kantung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dijangka bertambah ‘parah’ apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengarahkan mereka menyelesaikan isu tunggakan gaji tiga pemain dan bekas pengendalinya dalam tempoh 14 hari.

Berdasarkan jumlah tuntutan dikeluarkan FAM itu, KAFA harus membayar hampir RM200,000 ketika mereka juga dihimpit dengan pelbagai isu berkaitan tunggakan gaji pemain.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status FAM Mohd Dali Wahid, keputusan itu dibuat selepas pihaknya bermesyuarat semalam.

KAFA diarahkan membayar kepada tiga pemain membabitkan Mohd Khairul Izuan Rosli, Mohammad Faizal Abu Bakar dan Tuan Muhamad Faim Tuan Zainal Abidin dengan jumlah tunggakan masing-masing bernilai RM77,486.87, RM44,000 dan RM9,000.

“Jumlah tunggakan gaji bagi ketua jurulatih Kelantan, Velizar Emilov Popov pula sebanyak AS$14,000 (RM59,946),” katanya menerusi kenyataan media dikeluarkan badan induk itu.

Dalam perkembangan lain, FAM turut mengarahkan Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) untuk membayar tuntutan dua pemain berhubung isu penamatan kontrak sebelah pihak.

Tuntutan berkenaan dikemukakan Amirul Asraf Noor (RM72,000) dan Muhammad Hafizuddin Harun (RM60,000).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 5:02 AM