CHONG Wei (kiri) kerap berjumpa Misbun baru-baru ini. FOTO Facebook Misbun Sidek
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Datuk Misbun Sidek hampir 90 peratus akan kembali ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berperanan sebagai jurulatih peribadi khas untuk jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei.

Berdasarkan perkembangan terbaru, difahamkan Misbun sudah bertemu dengan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria kelmarin dan perbincangan itu berjalan lancar serta hampir mencapai kata sepakat.

Menurut sumber, hanya beberapa perkara perlu diselesaikan selain ia dibincangkan terlebih dulu pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) hari ini.

“Secara asasnya, persetujuan sudah dicapai. Ini soal Chong Wei mahukan khidmat Misbun dan untuk itu, Misbun juga perlu mengemukakan kemahuannya.

“Komitmen Misbun hanya pada Chong Wei dan jurulatih lain mungkin akan kekal membimbing pemain perseorangan lain.

“Chong Wei pula berjanji akan memberi komitmen sepenuhnya untuk berlatih di bawah Misbun dan cuba memberikan banyak kejayaan kepada negara,” katanya.

Semalam Arena Metro melaporkan selepas enam tahun meninggalkan BAM, bekas jurulatih perseorangan negara itu kemungkinan besar akan kembali ke badan induk itu.

Khabar angin mula timbul selepas Chong Wei dilihat kerap bertemu Misbun di kediaman legenda badminton negara itu.

Misbun, 57, individu yang bertangungjawab membentuk karier Chong Wei hingga menyaksikan pemain nombor satu dunia itu mencipta pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa sebelum meninggalkan BAM pada 2011 kerana difahamkan tidak sehaluan dengan pihak pengurusan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 9:52 AM