AFP

Paris: Andy Murray (gambar) dan Rafael Nadal masing-masing berpeluang melangkah ke final terbuka Perancis walaupun laluan mereka sejak awal kempen di Paris penuh berliku.

Murray yang juga pemain nombor satu dunia, adalah warga Britain pertama yang melangkah ke final di Roland Garros sejak Bunny Austin melakukannya pada 1937 tetapi perjalanannya disekat Novak Djokovic dan dia terpaksa berpuas hati selaku naib juara tahun lalu.

Tahun ini, jika dia berjaya melakar dua lagi kemenangan bermula dengan aksi separuh akhir menentang juara 2015 Stan Wawrinka, dia bakal bergelar pemain Britain pertama yang menjulang trofi lelaki sejak Fred Perry melakukannya 82 tahun lalu.

Nadal yang bakal berdepan Dominic Thiem di separuh akhir selepas pemain itu mengalahkan Djokovic, mahu menjadi pemain pertama yang memenangi kejohanan sama sebanyak 10 kali.

Murray tiba di Perancis dengan tubuhnya tidak sihat akibat serangan virus malah sebelum itu dia berdepan kecederaan siku, selsema dan batuk.

“Saya datang seolah-olah hanya sebagai pelengkap jadual,” kata pemain berusia 30 tahun itu.

“Jika ada seseorang yang sudi menawarkan saya tempat di separuh akhir, sudah tentu saya akan menerimanya tanpa banyak soal.”

Prestasinya di Paris setakat ini agak bercampur baur.

Dia memerlukan empat set untuk mengatasi Andrey Kuznetsov dan Martin Klizan di dua pusingan pertama. Bagaimanapun, dia menang straight set ke atas Juan Martin del Potro di pusingan ketiga sebelum mudah mengatasi Karen Khachanov di kelompok 16 terakhir.

Di suku akhir, namanya mula menjadi sebutan sebagai juara Terbuka Perancis kali ini.

Nadal pula tetap menjadi pilihan penonton yang percaya pemain itu mampu membawa pulang kejuaraan Terbuka Perancis buat kali ke-10 yang juga bakal menjadi kejayaan di kejohanan utama ke-15 baginya.

Bintang Sepanyol berusia 31 tahun itu, sama seperti Stan Wawrinka dan Thiem, tidak pernah terlepas mana-mana set di kejohanan kali ini.

Malah, dia turut berada dalam keadaan lebih cergas selepas hanya berada di gelanggang selama lapan jam sepanjang lima pusingan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 9:04 AM