HARTMANN tambah bisa Harimau Kumbang.
Rudy Syareme Sheriffudin
sukan@hmetro.com.my

Georgetown: Bekas penyerang Sarawak Mark Hartmann kini sah menjadi pemain import terbaru skuad bola sepak Pulau Pinang.

Hartmann, 25, yang berasal dari Southampton, England menarik perhatian ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan untuk mengemudi bahagian serangan skuad Harimau Kumbang.

Zainal berkata, pemilihan Hartmann dianggap bertepatan dalam usaha Pulau Pinang memburu kemenangan ketika mengharungi baki sembilan aksi Liga Super.

“Dia akan digandingkan bersama seorang lagi pemain import baru yang sudah sah menjadi milik kami, Sanna Nyassi.

“Kini tinggal satu kekosongan pemain import yang bakal dipilih. Kami masih dalam proses meneliti beberapa pemain import yang mencuba nasib sejak beberapa hari lalu.

“Saya akan meneliti dengan lebih serius supaya jentera serangan yang sebelum ini agak rapuh dapat diperkasakan,” katanya ketika ditemui semasa latihan di Stadium Bandaraya kelmarin.

Zainal Abidin berkata, Renaildo Lobo terpaksa diketepikan kerana kecederaan yang mengambil masa lama untuk pulih.

Justeru, beliau berharap pihaknya akan memastikan gandingan Hartmann dan Nyassi mampu memantapkan Pulau Pinang.

Beliau berkata, pemburuan tiga mata bagi setiap perlawanan amat penting bagi mengelak tersingkir daripada Liga Super tahun ini.

Bagi Hartmann pula, kepercayaan diberikan tidak akan disia-siakan selain sudah bersedia membuktikan kemampuan sebenar.

“Tidak dinafikan Pulau Pinang berada di tangga tercorot liga tapi perjuangan kami belum selesai. Saya akan cuba membantu sebaik mungkin untuk menyelamatkan pasukan daripada tersingkir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 9:39 AM