Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Atlet lompat kijang negara, Hakimi Ismail (gambar) memberi bayangan awal dia mampu mempertahankan emas dimenanginya dua tahun lalu di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur apabila mengekalkan lompatan konsisten untuk mengungguli Kejohanan Olahraga Terbuka Kazakhstan.

Biarpun gagal memperbaharui rekod kebangsaan miliknya 16.76 meter yang dicipta di Singapura dua tahun lalu, Hakimi tetap berpuas hati dengan pencapaiannya di Kazakhstan.

Atlet berusia 26 tahun itu melakukan 16.45m untuk meraih emas ketiganya tahun ini.

“Ia lompatan terbaik saya. Tapi saya melakukan sedikit kesilapan ketika beraksi. Namun saya gembira dengan 16.45m ini.

“Saya yakin dapat meraih banyak lagi pencapaian baik selepas ini,” kata Hakimi dalam laman sosial Facebook miliknya.

Apa yang lebih menggembirakan atlet kelahiran Perak itu dia kini bebas sepenuhnya daripada kecederaan.

Dia yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan buku lali sehingga memaksanya melupakan latihan di Amerika Syarikat, tidak berputus asa untuk bangkit mencari rentak.

Kejohanan pertama di Terbuka Singapura, Hakimi berjaya merekodkan 16.32m. Dia kemudian terbang tinggi di Terbuka Selangor apabila mencatatkan 16.61m dan 16.45m di Kazakhstan.

Begitupun untuk layak ke Kejohanan Dunia di London dari 5 hingga 13 Ogos ini, Hakimi yang berlatih di bawah bimbingan Viktor Sotnikov perlu mencatat lompatan 16.80m.

Sementara itu dua atlet wanita negara R Kirthana (lompat kijang) dan Noor Shaidatun Nadia Zuki (lompat jauh) masing-masing menghadiahkan gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 11:27 AM