Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Peluang Goh Jin Wei (gambar) untuk menjulang kejohanan bertaraf Grand Prix (GP) Emas buat kali pertama semakin terbuka apabila dia berjaya melangkah ke pentas final Terbuka Taiwan.

Pemain perseorangan utama wanita negara itu yang juga pilihan ketiga kejohanan, nyata berada pada prestasi terbaik selepas membenam cabaran wakil Jepun Haruko Suzuki 21-16, 21-17 pada aksi separuh akhir semalam.

Ini adalah final kedua untuk Jin Wei pada saingan bertaraf GP Emas selepas kali pertama mara ke pentas final di Indonesia Masters tahun lalu sebelum tewas kepada pemain tuan rumah Busanan Ongbamrungphan.

Pada aksi final hari ini, bintang berusia 17 tahun itu akan bertemu seorang lagi wakil Jepun Saena Kawakami.

Menurut jurulatih perseorangan wanita Sairul Amar Ayob, Jin Wei mempamer aksi lebih matang dengan banyak bersabar serta tidak terlalu terburu-buru untuk meraih mata.

“Tapi banyak lagi sebenarnya perlu diperbaiki oleh Jin Wei, antaranya tahap kecergasan, kekuatan mental serta sikapnya ketika beraksi.

“Jin Wei juga perlu menunjukkan kemahuan yang lebih tinggi ketika menjalani latihan serta bermain pada perlawanan sebenar.

“Untuk esok (hari ini), kami akan melihat aksi lawannya dulu. Tapi secara asasnya pemain Jepun sangat aktif berlari sekeliling gelanggang dan Jin Wei perlu lebih banyak bersabar,” katanya.

Hanya Jin Wei satu-satunya wakil tunggal negara beraksi pada pentas final hari ini selepas dua lagi wakil negara terkandas di separuh akhir semalam.

Beregu lelaki negara Chooi Kah Ming-Low Juan Shen mempamer semangat juang tinggi sebelum tewas kepada pilihan kedua yang juga wakil tuan rumah Chen Hung Ling-Wang Chi-Lin 14-21, 21-19, 21-13.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia turut mempamer aksi terpuji sebelum tewas kepada pilihan pertama Chou Tien Chen 21-15, 10-21, 12-21.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 8:32 AM