Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba Moto3 negara Adam Norrodin akhirnya menamatkan badi gagal meraih sebarang mata dalam tujuh perlumbaan berturut-turut apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix Jerman di kedudukan ke-13 semalam.

Bermula di petak ke-14, pelumba SIC Racing Team itu kekal konsisten bersaing di kelompok pertengahan dan bersaing sengit pada pusingan terakhir untuk meraih tiga mata berharga.

Kali terakhir Adam meraih mata adalah pada pusingan pembuka tirai di Qatar yang menyaksikannya menamatkan saingan di kedudukan ke-10 dan selepas itu dia seringkali menamatkan perlumbaan di kelompok belakang atau gagal menamatkan perlumbaan.

“Permulaan saya tidaklah terlalu teruk, sebaliknya setiap pelumba berusaha bersungguh-sungguh untuk berada di depan.

“Jadi ketika itu berlaku pergesaran antara saya dengan pelumba lain dan ia menyebabkan saya kehilangan kedudukan untuk seketika.

“Apapun jentera amat baik sekali hari ini (semalam) berbanding pelumba lain dan saya rasa melakukan pemilihan tayar yang betul,” katanya.

Jelas Adam, ia perlumbaan yang cukup positif untuknya minggu ini.

“Saya dapat rasakan kami berada pada prestasi terbaik ketika ini. Kami perlu teruskan kecemerlangan ini pada baki perlumbaan seterusnya nanti,” katanya.

Sementara itu dalam kategori Moto2, Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi bersama pasukan PETRONAS Raceline Malaysia terus cemerlang apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11.

Manakala Khairul Idham Pawi (Idemitsu Honda Team Asia) sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 12:53 PM