PRESIDEN PESAKA Tan Sri Mohd Ali Rustam (tengah) bersalaman dengan pesilat negara pada Majlis Perasmian Pembukaan Kejohanan Kejuaraan Silat ASEAN ke-7 (Pra-Sukan SEA 2017).

Kuantan: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) berpuas hati dengan komitmen 29 pesilat yang bertapa di kawasan terpencil di pergunungan Da Lat, Vietnam, selama tiga minggu hingga Jumaat ini.

Pengurus Besar PESAKA Datuk Osman Nok berkata, disiplin tinggi dan tahap kecergasan menjadi keutamaan semua pesilat bagi menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), bulan depan.

Semuanya dilihat positif dan pesilat memenuhi jadual ditetapkan biarpun mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga terutama tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama tahun ini, katanya.

“Tapi biarpun terpaksa menyambut Aidilfitri secara sederhana di Vietnam, semangat untuk membantu skuad negara meraih pingat emas pada Sukan SEA kali ini diyakini dapat direalisasikan.

“Saya gembira dengan kesungguhan mereka dalam usaha memberikan yang terbaik terutama memastikan sasaran lapan emas menjadi kenyataan,” katanya semalam.

Sebaik pulang ke tanah air Jumaat ini, skuad silat negara akan menghadiri kem motivasi di Gunung Ledang, Johor, selama lima hari sebelum meneruskan sesi latihan di Cameron Highlands, bagi tempoh 10 hari.

Osman berkata, dua kem motivasi itu diharap melengkapkan persediaan semua pesilat untuk memastikan kejayaan bermakna selaku tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 9:36 AM