Skip this ad x
SKUAD hoki negara sasar raih emas di Sukan Asia tahun depan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tetap berharap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sedia mempertimbangkan acara hoki lelaki disenaraikan ke dalam Program Podium.

Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya percaya Khairy lebih memahami pencapaian semasa diraih skuad lelaki yang sudah membuktikannya dengan melayakkan diri secara merit ke Piala Dunia 2018 menerusi kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, baru-baru ini.

“Saya yakin Khairy akan mengambil kira mengenai pencapaian yang sudah kami capai. Soal pencapaian dalam Piala Dunia 2018 nanti tidak perlu dipertikai kerana saya percaya kami mampu memberikan persembahan terbaik.

“Khairy sudah membuat kenyataan sebelum ini pihaknya akan mempertimbangkan untuk menyenaraikan hoki lelaki ke dalam Program Podium dan kami berpegang dengan kata-katanya itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Subahan, tiada perlu lagi dipertikaikan mengenai skuad hoki lelaki negara yang ketika ini sudah berkelas dunia.

“Kami hampir menewaskan pasukan ranking pertama dunia Argentina pada saingan separuh akhir baru-baru ini selain menewaskan gergasi Asia, India dua kali berturut-turut.

“Kami juga meletakkan sasaran tinggi pada Sukan Asia tahun depan untuk meraih emas supaya dapat melayakkan diri secara automatik ke Sukan Olimpik 2020,” katanya.

Subahan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dalam laporan akhbar semalam yang memberitahu peluang hoki lelaki untuk disenaraikan dalam Program Podium bergantung kepada prestasi dipamerkan pada Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India.

Kenyataan itu sekali gus menolak pencapaian tempat keempat diraih pada Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London baru-baru ini, sebagai melayakkan skuad Stephen Van Huizen untuk diletakkan ke dalam program berkenaan.

Bagaimanapun sebelum itu, Khairy menerusi kenyataannya meminta jawatankuasa penilaian bagi Program Podium mempertimbangkan untuk hoki lelaki disenaraikan ke dalam program itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 10:27 AM