EDDEY (kiri) dan Theena akan beraksi pada Boxingfest - WBC Asia & OPBF Silver Title Fight esok.

Kuala Lumpur: Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2005 dan 2007, Eddey Kalai sudah bersedia untuk beraksi buat pertama kali dalam arena tinju profesional.

Beraksi dalam kategori 59 kilogram untuk merebut gelaran Majlis Tinju Dunia (WBC) bagi kategori Super Featherweight, Eddey akan berdepan lawan dari Sarawak Stephen Onn Anak Jenggieng.

Bagi Eddey, dia berharap dapat mencari kemenangan pertama pada aksi pertama di pentas tinju profesional.

“Setiap petinju profesional sentiasa mahukan kemenangan untuk membawa nama Malaysia. Saya akan cuba yang terbaik untuk mendapatkan tali pinggang buat negara,” katanya.

Mengulas mengenai lawannya, Eddey berkata Stephen mempunyai kelebihan dari segi pengalaman tetapi menganggap peluang untuk menang adalah sama rata.

Sementara itu, aksi petinju termuda, R Theena Thayalan, 19, antara yang tidak boleh dilepaskan ketika ‘Boxingfest’ bakal kembali menyingkap tirainya tahun ini.

Dalam perlawanan di Johor Bahru, Januari lalu, Muhamad Farkhan Mohd Haron diangkat menjadi juara WBC Asia kategori light heavyweight.

Acara kali ini membariskan 10 perlawanan dan menampilkan petinju profesional dari Malaysia, Filipina, Indonesia, Amerika Syarikat dan India.

WBC adalah satu daripada empat badan sah yang menjadi nadi penggerak Kejohanan Tinju Sedunia bersama Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF), Persatuan Tinju Dunia (WBA) dan Organisasi Tinju Dunia (WBO).

Tiket boleh didapati dengan melayari www.ticketpro.com.my. Setiap tiket dijual dengan harga bermula RM98. Maklumat lanjut, hubungi WBC Malaysia dengan melayari https://www.facebook.com/WBCMalaysia/.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 4:42 AM