Madrid: Pemain tengah skuad B-21 Sepanyol Dani Ceballos menyertai Real Madrid menerusi kontrak enam tahun dari Real Betis, kata kelab juara Eropah itu semalam.

Pemain berusia 20 itu dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan di pertandingan bawah 21 tahun Eropah bulan lalu di mana Sepanyol menamatkan saingan selaku naib juara.

Media Sepanyol melaporkan Real membayar sebanyak 16.5 juta euro (RM80.87 juta) untuk membawa masuk Ceballos - melebihi jumlah yang termaktub di dalam klausa pelepasan pemain itu.

“Real Madrid dan Real Betis bersetuju dengan perpindahan Dani Ceballos yang menandatangani kontrak enam tahun bersama kelab kami,” kata juara bertahan La Liga itu di dalam laman web rasmi pasukan.

Isnin lalu, Real mengikat kontrak dengan pertahanan Perancis berusia 19 tahun, Theo Hernandez, juga menerusi kontrak enam tahun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 4:00 AM