AFP

Silverstone, England: Lewis Hamilton meraih kemenangan keempat berturut-turut pada Grand Prix British semalam untuk merapatkan kedudukan kepada satu mata dalam kejuaraan dunia di belakang pendahulu Sebastian Vettel.

Dalam perlumbaan dramatik dipenuhi insiden, Vettel mengalami tayar pancit pada lewat saingan dan berakhir di tangga ketujuh buat Ferrari selepas rakan sepasukannya Kimi Raikkonen turut memasuki pit kerana masalah sama pada hujung perlumbaan itu.

Kemenangan Hamilton, yang menyamai rekod dengan lima kemenangan dalam perlumbaan di laman sendiri dan ke-57 sepanjang kariernya, menyemarakkan semula cabaran kejuaraannya apabila dia menang di depan rakan sepasukan Valtteri Bottas, yang bermula di petak kesembilan, dengan penguasaan satu-dua Mercedes.

“Ia satu perasaan yang sukar saya ungkapkan,” kata Hamilton. “Lihat saja penonton ini. Terima kasih kepada yang hadir. Semoga Tuhan membalas jasa anda!

“Ia amat mengagumkan, saya teruja dengan ramainya kanak-kanak yang hadir.”

Raikkonen di tangga ketiga buat Ferrari selepas pasukan Itali itu membuat percaturan strategik dengan tayar mereka, di depan Max Verstappen dan rakan sepasukan Red Bull, Daniel Ricciardo, yang bermula di petak ke-19.

Nico Hulkenberg berakhir di tangga keenam bersama jentera Renault di depan Vettel, Esteban Ocon dan rakan sepasukannya di Force India, Sergio Perez dan Felipe Massa, yang berakhir di tangga ke-10 buat Williams.

Bottas berkata: “Saya amat gembira hari ini. Ia tidak mudah, dengan terlalu banyak kereta perlu dilepasi tapi pasukan ini melakukan strategi sempurna. Saya hanya bertenang dan kami berjaya menanganinya.”

Raikkonen berkata, dia kecewa dengan nasib tidak menyebelahinya namun Vettel menyatakan dia tidak menyalahkan pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 3:10 PM