JEGATHESAN turut digelar ‘The Flying Doctor’.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: “Penantian yang cukup panjang.” Demikian pandangan bekas pelari pecut negara Tan Sri Dr M Jegathesan mengulas kejayaan Khairul Hafiz Jantan memadamkan rekod 200 meter miliknya yang bertahan 49 tahun pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia kelmarin.

Mengakui teruja dengan pencapaian bintang muda kelahiran Melaka itu, Jegathesan pada masa sama langsung tidak berasa kecewa apabila rekod 20.92 saat yang dilakukan di separuh akhir Sukan Olimpik 1968 Mexico dileburkan Khairul (20.90s).

“Pertama sekali tahniah kepada Khairul. Dia masih muda dan mampu pergi lebih jauh lagi.

“Dia harus terus bekerja keras untuk memenangi emas Sukan SEA selain Sukan Asia di Jakarta tahun depan,” katanya yang mendapat gelaran ‘The Flying Doctor’.

Jelas Jegathesan, selepas beberapa dekad, Malaysia kini dilihat mempunyai barisan atlet cukup berkaliber dalam acara olahraga.

“Ini perkembangan cukup baik apabila kita mempunyai barisan pelari terpantas diketuai Khairul,” katanya.

Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin, Khairul melepasi garisan penamat dengan larian cukup bertenaga menewaskan pesaingnya yang lain.

Khairul turut memecahkan rekod kejohanan yang sebelum ini dipegang Kento Terada dari Jepun dengan catatan 20.94s, dilakukan di Kangar pada 1996.

Atlet berusia 18 tahun itu juga pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.18s yang dilakukan pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak tahun lalu.

Khairul dijangka menjadi tumpuan acara riben biru pada temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 10:36 AM