Khairul Hafiz (kiri) cipta rekod 200 meter kebangsaan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Bukit Jalil. FOTO HM/BERNAMA
BERNAMA

PELARI terpantas negara Khairul Hafiz Jantan berpotensi mencipta sejarah menjadi atlet pecut negara pertama merangkul tiga pingat emas acara riben biru itu pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos ini.

Prestasi memberangsangkan dipamer Khairul Hafiz, 18, kebelakangan ini membuatkan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim menaruh harapan melihat atlet kelahiran Melaka itu membawa pulang pingat dalam acara 100 meter, 200 meter dan 4x100 meter.

Beliau berkata Khairul selaku pemegang rekod 100m dan 200m kebangsaan mempunyai segala kemampuan untuk mengatasi pencapaian emas berganda dilakukan bekas jaguh pecut negara Nazmizan Muhammad sewaktu Sukan SEA 2003 di Vietnam.

“Sebelum ini kita pernah menang 100m dan 200m di Vietnam menerusi Nazmizan, tetapi tiada lagi pernah memenangi 100m, 200m dan 4x100m sekali gus. Itulah saya nantikan.

“Khairul mempunyai kemampuan melakukannya dan jika diberi peluang, ia bakal menjadi satu sejarah manis buat dunia olahraga negara,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Khairul Hafiz diberi jolokan ‘The Speedy Jantan’ menggegarkan dunia olahraga tempatan apabila mencatat masa 10.18s untuk memecahkan rekod 18 tahun 100m kebangsaan milik Watson Nyambek (10.30s) pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016.

Tidak terhenti setakat itu, pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-94 yang berakhir Selasa lalu, beliau sekali lagi mempamerkan taring apabila merakam kepantasan 20.90s untuk meleburkan rekod berusia 49 tahun milik Tan Sri Dr M Jegathesan (20.92s) yang dilakukan pada Sukan Olimpik 1968 Mexico. Justeru, Karim berharap kepantasan dimiliki Khairul Hafiz dapat digunakan sebaik mungkin serta dijelmakan bagi membantu kuartet 4x100m negara pada temasya Sukan SEA KL.

Beliau berkata demi menaikkan moral barisan kontinjen olahraga negara menjelang temasya dwitahunan itu, KOM akan memberikan imbuhan kepada setiap atlet yang berjaya meraih kilauan pingat emas tetapi jumlah imbuhan belum diputuskan.

“Kita memang sudah berbincang dalam mesyuarat mengenai imbuhan ini dan kita hanya akan beri imbuhan terbabit kepada atlet yang berjaya meraih pingat emas sahaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 8:17 PM