PEGAWAI Daerah Kuala Nerus Datuk Tengku Farok Hussin Abd Jalil (tiga kiri) menyerahkan obor kepada Pegawai Daerah Kuala Terengganu Datuk Mohd Yasim Awang.
Nazdy Harun
sukan@hmetro.com.my


Kuala Nerus: Telekom Malaysia (TM) komited dalam memeriahkan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur selain terbabit secara langsung dalam sambutan larian obor di seluruh peringkat di negeri ini.

Pengurus Besar TM Negeri Terengganu Hamidun Ismail berkata, selaku penganjur bersama mereka amat berbangga dapat bekerjasama dalam menjayakan temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu.

Menurutnya, di Terengganu kira-kira 50 kakitangan TM terbabit bagi menjayakan larian obor merangkumi 10 peringkat bermula pada 17 hingga 24 Julai ini termasuk gimik menyelam di Pulau Perhentian, Besut.

“Larian hari pertama bermula di Jeti Kuala Besut ke Pejabat Daerah Besut sejauh 5.2 kilometer (km), sebelum disambung di daerah Setiu di Terminal Bas Bandar Permaisuri ke Kolej Teknologi Bestari sejauh 6.1km.

“Larian seterusnya dari Dataran Kuala Berang ke PETRONAS Batu 23, sejauh 6.2km dan semalam larian membawa obor Sukan SEA bermula di Dataran Austin ke kawasan lapang berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud, sejauh 6.2km,” katanya.

Menurutnya, peringkat seterusnya juga diadakan semalam bermula di perkarangan Istana Maziah dan berakhir di Dataran Batu Buruk, dengan jarak larian 9.7km sebelum disambung keesokannya di Bandar Marang ke Pantai Peranginan Kelulut, sejauh 5.6 km.

Katanya, bagi meneruskan kemeriahan, larian obor itu akan diteruskan dari Bandar Dungun ke Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, sejauh 8.7km dan di Kemaman dua peringkat akan berlangsung iaitu di Kelab Golf PETRONAS ke Pantai Peranginan Kemasik dengan jarak larian sejauh 2km.

Beliau berkata, peringkat akhir akan bermula di Pejabat Daerah Kemaman ke Stesen PETRONAS Geliga dengan jarak 3km dan bagi larian hari ini obor dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahmah sebelum sebelum tiba Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail.

“Kira-kira 1,500 peserta dan orang ramai memeriahkan larian peringkat kali ini dan dengan semangat kesukanan tinggi diharap Malaysia mampu meraih kejuaraan secara keseluruhan dalam Sukan SEA nanti.

Menurutnya, larian obor yang dijalankan secara peringkat ini dilihat sebagai penyatuan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 10:22 AM