DOLLAH digantung 18 bulan dan didenda RM30,000.
Mohd Rafi Mamat
sukan@hmetro.com.my


Kuantan: Hukuman dikenakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh dianggap terlalu berat dan keras yang menjurus kepada cubaan membunuh kerjaya sebagai jurulatih bekas pemain kebangsaan itu.

“Persoalannya sekarang, apakah luahan hati beliau (Dollah) terhadap mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) terlalu sensitif hingga mengundang hukuman terlalu berat daripada badan induk bola sepak negara.

“Saya berpendapat hukuman penggantungan selama 18 bulan dan denda RM30,000 kepada Dollah terlalu berat dan tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan, amat sukar untuk diterima seorang jurulatih sepertinya (Dollah) yang banyak berkorban untuk bola sepak negara,” kata bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail.

Beliau yang pernah membimbing pasukan Tok Gajah berkata, hukuman dikenakan jawatankuasa tatatertib terhadap Dollah seolah-olah cubaan menutup periuk nasi jurulatih itu yang mempunyai kebolehan menggilap pemain muda.

Menurutnya, mengikut peraturan FAM, menjadi kesalahan jurulatih mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan mutu pengadilan Liga M namun sebagai badan induk bola sepak negara FAM perlu mengambil beberapa perkara bukan terus menghukum.

Sebagai pengajaran mungkin FAM boleh memberikan hukuman keras kepada Dollah, jika beliau sekali lagi mengulangi tindakan sedemikian.

“Sebagai rakan saya simpati dengan nasib Dollah, usaha ikhlasnya memperbetulkan kelemahan pengadilan bola sepak negara seolah-olah tidak layak dan reda saja setiap keputusan bagi mengelak imej FAM terjejas.

“Adakah ini antara perubahan drastik hendak diterapkan FAM untuk mentadbir badan induk bola sepak negara hingga langsung tidak boleh ditegur dan disentuh mana-mana pihak.

“Saya beranggapan hukuman FAM terhadap Dollah yang melakar banyak kejayaan bersama Pahang sebelum ini keterlaluan tanpa memikirkan sifat perikemanusiaan,” katanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 4:12 AM