Morata (kiri) bersaing dengan rakan sepasukan Cesar Azpilicueta pada sesi latihan. FOTO EPA
Reuters

PEMAIN baru Chelsea Alvaro Morata yakin dia sudah ditakdirkan beraksi di bawah kendalian Antonio Conte yang berada dalam kalangan kelab dianggap cukup bagus untuk bersaing dengan kelab elit Eropah.

Morata menyertai Juventus pada musim 2014-15 sejurus selepas Conte meninggalkan skuad itu untuk mengendalikan skuad kebangsaan Itali.

Mereka kembali berganding di Stamford Bridge dengan penyerang Sepanyol itu yakin dapat menyesuaikan diri dengan taktik Conte.

"Saya tahu Antonio mahukan saya sebelum ini dan saya benar benar mahu bekerja sama dengan Antonio. Akhirnya kami ditakdirkan dapat bersama," kata Morata dalam laman web kelab itu.

"Ia mengecewakan apabila dia ke Itali pada 2014 tetapi saya bermain dengan baik di Juventus. Bagaimanapun saya benar benar mahu beraksi di bawah kendalian jurulatih itu.

"Saya tahu caranya bekerja dan kakitangannya. Saya tahu ia banyak mengenai taktik dan saya benar benar suka terhadap permainannya dan tahu bagaimana beraksi di bawah sistemnya."

Penyerang antarabangsa Sepanyol berusia 24 tahun itu yakin juara Liga Perdana itu mampu bersaing dengan kelab utama Eropah termasuk bekas kelabnya Real Madrid yang meraih gelaran kedua Liga Juara Juara (UCL) musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 6:49 PM